ISMA WEB
Pekerja gerai makan bersalah jerut, gantung 'Jebon' hingga mati
KUALA LUMPUR
– Seorang lelaki yang videonya tular kerana menjerut dan menggantung
leher seekor kucing sehingga mati, akhirnya menerima padah apabila
dihukum penjara 15 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim
Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Al Azri
Norhisham, 28, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang
dibacakan terhadapnya.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.
Tertuduh
yang bekerja di sebuah gerai makan didakwa secara tidak munasabah telah
menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak sepatutnya kepada
seekor kucing jantan di tangga blok A3 Jalan 4/27A Seksyen 2 Wangsa
Maju, Setapak, di sini pada kira-kira 1.30 tengah hari, 10 Jun lalu.
Dia
dituduh mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh
dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman
denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000
atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu,
Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mohd Ashif memohon hukuman berat
mengambil kira tindakan tertuduh sangat kejam dan melampaui batas.
“Perbuatan
yang dilakukan tertuduh adalah satu jenayah kerana melakukan kezaliman
dan menganiayai haiwan yang tidak berdaya. Alasan tertuduh menyatakan
dia dicakar dan digigit adalah tidak munasabah.
“Jika
dibandingkan tertuduh merupakan seorang manusia yang dikurniakan akal
fikiran yang waras, sepatutnya tertuduh tidak melakukan perbuatan
tersebut terhadap haiwan itu,” katanya
Bagaimanapun, Al Azri yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia adalah seorang anak yatim piatu.
“Saya
tangkap dan gantung kucing itu sebab dia (kucing) gigit dan cakar tangan
saya hingga berlubang. Saya anak yatim piatu dan kerja di gerai makan,”
katanya dengan bersahaja di kandang tertuduh.
Berdasarkan
fakta kes, kucing jantan bernama ‘Jebon’ milik seorang individu
ditemukan mati terjerut di hadapan rumah seorang jiran.
Hasil
rakaman kamera litar tertutup (CCTV) rumah jiran pengadu, mendapati
tertuduh menjerut leher kucing itu menggunakan tali rafia sebelum
menggantungnya di tangga hadapan rumah jiran hingga mati dan kemudiannya
beredar. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan