Jenazah Mohamad Fahmi dikebumikan sebelum Maghrib semalam
KUALA TERENGGANU– Pelajar Universiti Al-Azhar, Mesir dari Terengganu yang kritikal
akibat pendarahan dalam kepala meninggal dunia pada pukul 2 petang
semalam (8 malam waktu Malaysia).
Mohammad
Fahmi Faizzudin Asyraf Mohd Shukri yang merupakan pelajar Tahun 3
jurusan Syariah Islamiah di universiti itu menghembus nafas terakhir di
Hospital Safarat, Hayyu Sabi’e, Kaherah, Mesir.
Timbalan
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian
Tinggi negeri, Maliaman Kassim ketika dihubungi Bernama berkata jenazah
pelajar berusia 24 tahun itu selamat dikebumikan sebelum Maghrib waktu
Mesir semalam.
“Mengikut
perancangan asal, saya akan menemani ibu bapa Mohd Fahmi untuk
menziarahinya di Mesir pada pagi esok memandangkan hanya itu sahaja
tiket paling awal yang wujud.
“Namun,
Allah lebih menyayanginya dan hajat ibu bapanya untuk bertemu kali
terakhir tidak kesampaian. Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan
takziah kepada keluarga Allahyarham dan sama-sama kita berdoa agar
rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.
Terdahulu,
kisah Mohammad Fahmi Faizzudin Asyraf dimasukkan ke hospital itu tular
di media sosial sejak malam Rabu lalu apabila sebuah badan bukan
kerajaan (NGO) melancarkan tabung derma kilat berikutan keluarganya
memerlukan lebih RM40,000 untuk membiayai kos pembedahannya.
Allahyarham
dikejarkan ke Hospital Safarat pukul 2.07 pagi Rabu lalu (8.07 pagi
waktu Malaysia) selepas tidak sedarkan diri dan terpaksa menjalani
pembedahan berikutan mengalami pendarahan dalam otak.
Susulan
itu, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak
RM10,000 untuk ibu bapanya iaitu Mohd Shukri Husin, 54, dan Norhayati
Jusoh, 51, ke Mesir bagi melawat anak sulung mereka sebelum menerima
berita sedih itu.
Maliaman
yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ajil berkata, ibu bapa
Allahyarham akan tetap berangkat ke Mesir pagi esok untuk menziarahi
kubur Allahyarham dan beliau sendiri akan mengiringi mereka sepanjang
berada di Mesir.
“Ibunya
ada bercerita kali terakhir Allahyarham pulang pada Aidilfitri tahun
lepas. Mereka sekeluarga selalu berhubung melalui aplikasi Whatsapp di
mana kali terakhir Allahyarham ada mengadu sakit kepala.
“Ibu
bapanya reda dengan pemergian Allahyarham kerana beliau adalah seorang
anak yang mempunyai perwatakan sangat baik, tambahan pula dalam keadaan
beliau sedang menuntut di Mesir seperti mana yang diimpikannya selama
ini,” katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan