ALOR SETAR –
Seorang khatib, Ustaz Ku Yaacob Ku Hashim, 68, yang sedang menyampaikan
khutbah Solat Jumaat di Masjid Al-Bukhary, di sini, tiba-tiba rebah
sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor di Hospital Sultanah
Bahiyah (HSB), di sini.
Jemaah yang turut berada ketika kejadian
itu merangkap bekas pelajarnya, Hassan Mustafa Afifuddin, 30, ketika
dihubungi berkata, bekas guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah
itu rebah, semasa membaca khutbah awal kira-kira 1.30 tengah hari ini.
“Waktu itu saya dengar sekali khutbah
disampaikan ustaz, sebelum ustaz rebah dan jatuh terlentang atas tempat
khutbah. Kemudian jemaah lain ambil ustaz dari mimbar dan ada beberapa
jemaah yang kerja sebagai doktor memberikan bantuan rawatan awal seperti
CPR (bantuan pernafasan) dan cek nadi di leher ustaz, manakala saya
pula menghubungi ambulans,” katanya.
Hassan berkata, selepas itu dia pergi
mengambil isteri Allahyarham di rumah mereka untuk membawanya ke
hospital berkenaan, sejurus mendapat panggilan daripada isteri Ku
Yaacob.
“Saya pergi ambil ustazah sebab saya
dihubungi ustazah. Saya tanya ustazah dapat mana nombor saya, ustazah
ambil dalam telefon ustaz yang ketika itu ditinggal di rumah, dan
ustazah tergerak hati untuk menelefon saya,” katanya.
Dia berkata, setibanya di hospital mereka
dimaklumkan oleh pegawai perubatan yang bertugas ketika itu bahawa
Timbalan Pengerusi Masjid Al-Bukhary itu sudah meninggal dunia.
Hassan berkata, dia sempat pergi beraya
dengan bekas gurunya itu di rumah Allahyarham pada 12.15 tengah hari
ini, sebelum Ku Yaacob keluar ke masjid sekitar 12.30 tengah hari untuk
membuat persediaan membaca khutbah Solat Jumaat.
“Saya sempat minta ustaz baca doa dekat
anak saya, dan ustaz ada menyebut dekat saya macam ini ‘Ana nak kena
cepat, sebab ana bertugas baca khutbah dekat masjid’. Saya tidak
menyangka hari ini kali terakhir dapat lihat ustaz,” katanya.
Sementara itu, Eksekutif Kanan Masjid
Al-Bukhary, Abdul Rahman Yaacob berkata, Allahyarham rebah selepas
menyebut ayat ‘Bertakwalah pada Allah’ dan beberapa baris ayat dalam
bacaan khutbahnya.
“Saya mengenali Allahyarham empat tahun
lepas sejak arwah memegang jawatan Timbalan Pengerusi masjid dan
kematiannya amat dicemburui, kerana arwah seorang yang baik dan tidak
pernah meninggikan suara ketika bercakap.
“Arwah juga sangat komited dalam
melaksanakan tugasnya. Ketika bersama arwah, kita juga akan berasa
tenang dengan tutur katanya yang lembut,” katanya.
Abdul Rahman berkata, Ku Yaacob juga
sering menjadi tempat rujukan ilmu agama dalam kalangan jemaah masjid
dan rakan daripada Anggota Jawatankuasa (AJK) masjid yang sama.
“Saya ada berbincang dengan arwah
baru-baru ini mengenai latihan protokol sebelum membaca khutbah yang
akan dihadiri Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan
Sallehuddin, dan ketika itu arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan.
“Difahamkan juga, arwah pernah mengadu
kepada AJK masjid mengenai keadaan dirinya yang merasakan dadanya
‘ketat’ selain menghidap penyakit kencing manis,” katanya. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan