ISMA WEB
Manifesto PH tidak dipatuhi, dilihat lantikan politik: Presiden PKR
PERMATANG PAUH
– Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat Perdana Menteri,
Tun Dr Mahathir Mohamed perlu memperjelaskan pelantikan Latheefa Beebi
Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM), baru-baru ini.
Anwar
berkata, keputusan untuk melantik Latheefa itu dibuat oleh Tun Mahathir
dan beliau juga tidak dimaklumkan mengenai pelantikan itu sehingga
pengumuman dibuat.
Katanya,
terdapat beberapa isu, seperti Kabinet tidak dimaklumkan, pelantikan
tidak selaras dengan Akta SPRM dan soal pelantikan tidak selari dengan
janji dalam Manifesto Pakatan Harapan, yang perlu dijelaskan.
“Sudah
tentu satu penjelasan diperlukan, kerana perkara ini adalah apa yang
kita janjikan, tapi kita perlu melalui forum yang teratur (untuk
penjelasan), seperti (mesyuarat) Kabinet atau Majlis Kepimpinan Pakatan,
jika kita mahu dapatkan penjelasan yang sebenar.
“Manifesto tidak dipatuhi, dan nampak
seperti lantikan politik… saya rasa perlu penjelasan diberikan kepada
orang ramai berhubung isu itu, mengapa manifesto tidak diberi perhatian,
tidak dihormati, walaupun saya rasa Latheefa mempunyai kelayakan yang
diperlukan untuk kedudukan itu,” katanya kepada pemberita selepas
menghadiri Jamuan Hari Raya Perdana di Masjid Kubang Semang, di sini,
semalam.
Bernama
melaporkan, Anwar yang juga Anggota Parlimen Port Dickson bersetuju
untuk memberikan masa dan ruang buat Perdana Menteri untuk memberikan
penjelasan mengenai pelantikan itu mengikut platform yang sepatutnya.
“Bagaimanapun
tanggungjawab kita adalah untuk memastikan keberkesanan pentadbiran
kerajaan, kerana kita telah diberikan komitmen bagi menyokong
pentadbiran kerajaan di bawah kepimpinan Tun Mahathir,” katanya.
“Kita akan
memastikan SPRM kekal bebas, dan mereka yang diberikan tanggungjawab
itu dilihat sangat profesional dan tidak akan diseret dalam kancah
politik dan berpuak, ini adalah kebimbangan yang disuarakan,” katanya.
Katanya,
PM telah lantik, tetapi beberapa soal harus diperjelaskan seperti soal
manifesto dan proses pelantikan itu boleh dibincang secara baik dalam
ruang yang ada dalam PH, malah dalam kabinet sendiri.
Sementara
itu, Anwar berkata, perletakkan jawatan Latheefa sebagai Anggota PKR
telah diterima oleh parti dan perkara itu tidak menimbul sebarang isu.
Latheefa
dilantik sebagai KP SPRM yang baharu berkuat kuasa 1 Jun lalu,
menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memilih untuk
memendekkan kontrak perkhidmatan beliau.
Pada hari raya lalu, Dr Mahathir yang mengesahkan pelantikan Latheefa Koya tidak dimaklumkan kepada Kabinet.
Katanya,
sudah menjadi amalan biasa beliau sejak dahulu lagi untuk membuat
keputusan tanpa perlu mendapatkan persetujuan jemaah Menteri.
“Dia
sangat tegas. Dia bercakap benar. Dia tidak putar belit apa yang dia
cakap. Jadi kita perlukan seseorang yang mempunyai karakter yang tegas.
“Saya
tidak bincang dengan Kabinet. Biasanya saya buat keputusan saya sendiri
sebab saya tak perlu tanya Kabinet berkenaan keputusan yang saya sendiri
luluskan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan