Suspek pakai helmet cermin gelap ugut pekerja keluarkan barang kemas
JOHOR BAHRU–
Seorang lelaki dipercayai bersenjatakan pistol melarikan barangan kemas
bernilai kira-kira RM462,000, dalam satu kejadian samun di sebuah kedai
emas, di pusat membeli-belah di Taman Universiti, Skudai, semalam.
Ketua Polis Johor Bahru Utara (JBU), ACP
Mohd Taib Ahmad berkata, lelaki berkenaan yang berjaket gelap dan putih
serta memakai penutup mulut dan helmet bervisor gelap, mendekati kedai
itu pada jam 12.23 tengah hari.
Ketika kejadian, terdapat lima pekerja termasuk pengawal dalam kedai berkenaan.
“Suspek mengugut supaya memberi kerjasama
dan memaklumkan bahawa dirinya mempunyai pistol. Disebabkan ketakutan,
mangsa (pekerja kedai) telah mengeluarkan barang kemas daripada empat
bekas di dalam meja seperti yang diminta oleh suspek.
“Suspek kemudian melarikan diri bersama
237 utas rantai emas pelbagai jenis, dengan menaiki motosikal yang
diletakkan di hadapan kedai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini,
hari ini.
Ini adalah kali pertama kejadian samun
berlaku di premis berkenaan dan berdasarkan semakan, nombor pendaftaran
motosikal yang digunakan suspek adalah palsu.
“Pengawal keselamatan kedai emas
berkenaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara,
untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Sesyen 392 Kanun
Keseksaan,” katanya. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan