Anak syarikat 1MDB ada buka akaun AmIslamic Bank pada 2013
KUALA LUMPUR– Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB),
Tan Sri Ismee Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa
beliau meletak jawatan dalam SRC International Sdn Bhd kerana tidak
bersetuju dengan cara pengurusan akaun dan kewangan syarikat yang
dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil.
Ismee, 54,
yang pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah SRC International,
ketika membacakan penyataan saksi berkata, beliau mengemukakan surat
peletakan jawatan dalam syarikat itu pada 6 Mei 2014 dan peletakan
jawatannya secara rasmi ialah pada 15 Ogos 2014.
“Dalam tempoh bulan Mei sehingga bulan Ogos itu, saya tidak lagi aktif melibatkan diri dalam pengurusan SRC.
“Saya
meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan cara pengurusan
syarikat yang dikendalikan Nik Faisal, terutama berhubung akaun dan
kewangan syarikat,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff pada hari ke-21
perbicaraan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
berhubung penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Saksi
pendakwaan ke-39 itu juga berkata, kebanyakan tindakan berkaitan SRC
dilakukan Nik Faisal kerana beliau akan membentangkan sebarang
kertas kerja kepada Lembaga Pengarah untuk diputuskan dan mengambil
tindakan susulan bagi setiap projek yang ingin dilaksana oleh syarikat
berkenaan.
Beliau
berkata, bagi SRC International, sebarang keputusan Lembaga Pengarah
perlu mendapat nasihat daripada Advisor Emeritus syarikat berkenaan
iaitu Najib.
“Jika
terdapat sebarang perkara yang perlu dibawa ke perhatian beliau (Najib),
tindakan itu akan dilakukan oleh Nik Faisal sahaja kerana hanya dia
yang bertindak sebagai ‘link’ antara Lembaga Pengarah SRC dan Najib.
“Tindakan
melaporkan sebarang perbincangan atau keputusan berkaitan SRC akan
dibuat oleh Nik Faisal sahaja kepada Najib,” katanya.
Ismee,
yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lembaga
Tabung Haji, berkata beliau pernah menimbulkan persoalan
berkaitan isu pentadbiran syarikat itu kepada Nik Faisal.
“Nik Faisal selalunya akan membalas dengan menyatakan perkara itu telah dibincangkan dan dipersetujui “Kerajaan.”
“Pada pendapat saya, “Kerajaan” yang dikatakan oleh Nik Faisal adalah merujuk kepada Najib,” katanya.
Saksi itu
berkata, sebarang keputusan atau tindakan serta perkara berbangkit akan
dibawa oleh Nik Faisal untuk dibincangkan dan dipersetujui Najib.
“Saya juga
tahu yang Najib selaku perdana menteri telah melantik saya sebagai
seorang pengarah SRC, dan beliau juga mempunyai kuasa untuk memecat
saya.
“Saya
sedar dan mengetahui bahawa kuasa mutlak untuk ‘hire and fire’ mana-mana
Ahli Lembaga Pengarah SRC adalah terletak di dalam tangannya
(Najib),” katanya.
Sementara
itu, Ismee memaklumkan mahkamah bahawa SRC ada membuka akaun dengan
AmIslamic Bank pada 23 Ogos 2013 bagi tujuan operasi syarikat.
“Saya juga
ada menurunkan tandatangan di atas borang pembukaan akaun bank yang
dibekalkan Ambank dengan akaun bernombor 211-202-201065-0 atas nama SRC
International Sdn Bhd.
“Selain
tandatangan saya, terdapat juga tandatangan semua ahli Lembaga Pengarah
SRC yang lain iaitu Datuk Suboh Yassin, Datuk Shahrol Azral
Ibrahim Halmi, Datuk Che Abdullah@Rashidi dan Nik Faisal,” katanya.
Ismee
berkata, terdapat dua mesyuarat Lembaga Pengarah, masing-masing pada 23
Ogos 2011 dan 14 Feb 2012 yang dibentangkan Nik Faisal berhubung
permohonan pembiayaan pertama dan kedua oleh SRC.
Saksi itu
berkata, dalam kedua-dua mesyuarat berkenaan, mereka telah bersetuju
meneruskan permohonan pembiayaan pertama berjumlah RM2 bilion serta
permohonan pembiayaan tambahan bagi jumlah sama (RM2 bilion) daripada
Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan kedua-dua pinjaman
disokong oleh surat jaminan Kerajaan Malaysia.
“Daripada
jumlah pembiayaan sebanyak RM4 bilion itu, lebih kurang RM40 juta telah
digunakan untuk pembelian hartanah yang kemudiannya dijual kepada
satu daripada anak syarikat SRC bernama Gandingan Mentari Sdn Bhd
(GMSB),” katanya yang turut memaklumkan bahawa GMSB ditubuhkan bagi
menguruskan proses jual beli hartanah di kawasan Bukit Jalil.
Najib, 66,
didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna
kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan
dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan