Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Najib, Zahid dan bekas menteri sezamannya perlu berada di belakang UMNO bukan di depan. Serahkan kepemimpinan kepada Tok Mat
SAYA
setuju dengan saranan Najib Razak, agar kajian dibuat kenapa sambutan
luar biasa diperoleh meskipun beliau tidak lagi menjadi PM dan sedang
menghadapi tidak kurang 50 pertuduhan di mahkamah.
Sekiranya
Najib sedar daripada awal, sudah tentu lain keadaannya hari ini. Sebelum
PRU14, cakap-cakap daripada rakyat marhaen begitu kencang. Mereka
terlalu meluat dengan Rosmah Mansor.
Kenapa
Najib tidak boleh kawal Rosmah sehingga seolah-olah kelihatan Rosmah
itulah Perdana Menteri. Kini, apabila Najib berjalan tanpa Rosmah,
rakyat marhaen mengerumuninya sehingga lupa skandal 1MDB, Jho Low, dan
perbicaraan berkaitannya yang sedang berjalan.
Pun begitu, jangan teruja sangat pula dengan sambutan luar biasa rakyat yang diberikan kepada Najib.
Sama
seperti keyakinan BN untuk menang PRU14. Badan penyelidik, think tank
dan kumpulan akademik pro-Najib terlalu yakin BN boleh menang dan dapat
majoriti lebih besar. Sedangkan mereka yang menjadi rakyat, mengatakan
sebaliknya.
Rakyat
hanya menunggu masa sahaja tarikh PRU14 diumumkan. Bila diumumkan
sahaja, rakyat sudah nekad dengan pilihannya menolak BN. BN akhirnya
kecundang.
Sebab itu,
jangan terlalu yakin dengan sambutan ‘malu apa bossku’. Apa yang
penting hari ini adalah buat kerja yang terbaik untuk rakyat, sebab
rakyat sudah muak dengan apa yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH)
hari ini.
Tindak
tanduk pemimpin PH semakin memualkan. Percakaran sesama mereka tidak
boleh dibendung lagi. Lebih membahayakan, rahsia kelemahan keselamatan
dan pertahanan negara didedahkan di khalayak.
Lihatlah juga bagaimana reaksi mereka dengan perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.
Hari demi
hari berlalu, keadaan ekonomi tidak banyak berubah, malah rakyat semakin
terhimpit. Begitu juga dengan kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan
oleh pemimpin PH, semakin menyakitkan hati dan gagal mencuri perhatian
rakyat.
Justeru,
pimpinan UMNO dan BN perlu mengambil segala ruang dan peluang ini. Cuba
hindarkan kenyataan demi kenyataan yang boleh meluntur hati rakyat.
Misalnya,
kenyataan Zahid Hamidi mengenai Lailatul Qadar dan ’18 missed call’
daripada Najib tahun lalu, kaitan dengan perlantikan menjadi Timbalan
Perdana Menteri, gara-gara tidak dapat menunaikan umrah kerana passport
beliau masih ditahan sementara menunggu perbicaraan.
Pada hemat
saya, Lailatul Qadar ini adalah sesuatu yang amat bersifat peribadi.
Saya tidak fikir mereka yang bertemu dengannya akan menceritakan kepada
orang ramai. Tetapi Zahid mengambil sikap sedemikian. Sama ada itu
petanda Lailatul Qadar atau tidak, kita serah kepada Allah. Tetapi
ucapan seperti itu tidak sepatutnya keluar.
Saya tidak
nafikan hari ini Najib dan Zahid serta beberapa menterinya masih
popular. Tetapi perlu ingat, apakah dengan hampir 50 pertuduhan itu,
tidak ada satu pun yang akan lekat?
Pada
pengamatan awal saya, sokongan yang Najib dan Zahid terima hari ini,
bukan kerana rakyat terlalu suka atau yakin dengan mereka, tetapi rakyat
terlalu muak dengan cara PH menerajui kerajaan.
Terus
terang, saya lebih suka Najib dan Zahid duduk di belakang UMNO. Begitu
juga dengan mereka yang pernah memegang jawatan menteri sebelum ini.
Apa yang
boleh dilakukan oleh semua bekas menteri ini adalah, terus aktif dengan
laman sosial mereka dan ciapan setiap hari. Rakyat suka membaca dan
mendengarnya. Pengamalan yang ada pada kamu begitu mahal harganya,
meskipun kamu pernah melakukan kesilapan ketika memegang kuasa dahulu.
Jangan
malu mengakui kesilapan. Ingat kata-kata ini, ‘old generation are using
walking sticks…young generation are using selfie sticks…’
Serahkan kepemimpinan UMNO sepenuhnya kepada Tok Mat tanpa diganggu-gugat oleh pengikut-pengikut yang agak fanatik.
UMNO
memerlukan suntikan baharu di bawah pimpinan Tok Mat. Tok Mat tanpa
Najib dan Zahid serta bekas menteri yang diragui integritinya, perlu
membuktikan bahawa UMNO benar-benar bersih daripada rasuah dan politik
wang dalam dan luar parti.
Integriti UMNO mesti menyerlah tanpa diselubungi dengan noda. ‘Success without integrity is failure’.
Selain
itu, UMNO tidak boleh terlalu bergantung kepada bukan Melayu (Cina)
untuk menang sehingga Melayu dan Bumiputera berasa terpinggir. Dalam
kata lain, terlebih menjaga BN sehingga terguris hati Melayu sama ada di
dalam atau di luar UMNO.
Jaga
ketuanan Melayu/Bumiputera, yang lebih boleh diharap dari ketuanan BN
yang sudah tertiarap. Ingat, berdasarkan congakan saya, dalam PRU15,
undi Melayu di Semenanjung mampu memberikan kemenangan kepada UMNO dan
PAS.
Untuk
memerintah dan membentuk kerajaan, tidak ada cara lain, melainkan
mendapatkan sokongan padu daripada Bumiputera Sabah dan Sarawak.
Suka atau
tidak, dalam PRU15 akan datang, UMNO dan PAS perlu menekankan dan
menjaga aspek majoriti Melayu atau Bumiputera, tanpa mengetepikan bukan
Melayu.
UMNO dan
rakan baharunya PAS perlu segera bertindak untuk memulihkan ‘damaged’
yang telah dibuat selama ini. Pasukan khas atau taskforce hendaklah
ditubuhkan bagi tujuan pemulihan itu.
Antara perkara yang perlu dilakukan segera adalah, pertama, memulihkan kedaulatan negara yang telah dirobek oleh ultra kiasu.
Kedua,
bertindak segera ke atas jembalang-jembalang ultra kiasu yang begitu
berani merobek kedaulatan Islam, Melayu dan Bumiputera serta raja-raja
Melayu.
Ketiga, segera memperkasakan kedudukan Islam, Melayu/Bumiputera dan raja-raja Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Keempat, pulihkan sistem pendidikan negara berasaskan Perlembagaan.
Pendek
kata, selagi tindakan yang dilakukan berpaksikan Perlembagaan, selagi
itu kita akan berada di pihak kebenaran. Tidak perlu takut.
Apa yang
saya dapat simpulkan, kegagalan UMNO membina jati diri Melayu Islam yang
kuat pada masa lalu, adalah punca apa yang berlaku hari ini.
Sama ada UMNO bersetuju dengan saya atau tidak, saya tidak peduli, apa yang penting saya sudah luahkan.
UMNO perlu
berani mengakui kesilapan dan kelemahan yang pernah dilakukan terhadap
Melayu dan Bumiputera Sabah Sarawak selaku tuan tanah bersama bumi
bertuah ini berbanding yang lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan