Jumaat, 6 Julai 2018

Sudah ada nama calon DUN Sungai Kandis, kata MB Selangor

 
Amirudin Shari bagaimanapun enggan mendedahkan identiti calon dan bila nama itu akan dihantar ke pucuk pimpinan PKR.
 
 
 
Amirudin Shari berkata beliau mempunyai keistimewaan untuk menamakan calon sesuai bagi PRK DUN Sungai Kandis kepada pucuk pimpinan PKR. (Gambar facebook)


SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata beliau sudah mempunyai senarai nama calon yang difikirkan berpotensi untuk bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Sungai Kandis yang akan ditentukan kelak selepas kematian wakil rakyatnya Mat Shuhaimi Shafiei awal minggu ini.

Amirudin berkata sebagai menteri besar, beliau mempunyai keistimewaan untuk menamakan calon sesuai bagi PRK itu kepada pucuk pimpinan PKR sebelum ia diangkat ke peringkat Majlis Pimpinan Pakatan Harapan.

“Dalam kepala saya ada (senarai calon)…cuma perlu sampaikan kepada pucuk pimpinan PKR,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Manandatangani Memorandum Persefahaman antara Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) dengan 4 buah institusi yang disempurnakan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, hari ini.

Amirudin bagaimanapun enggan mendedahkan identiti calon dan bila nama itu akan dihantar ke pucuk pimpinan parti.
Mat Shuhaimi, 50, yang juga bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya kira-kira 11.10 pagi Isnin lepas akibat kanser limfoma.

Pada PRU14, 9 Mei lepas, Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ke-3 berturut-turut dengan majoriti 12,480 undi dalam pertandingan 4 penjuru menentang calon BN, PAS dan PRM.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata pihaknya sudah memuktamadkan senarai nama ahli majlis peringkat pihak berkuasa tempatan baharu di negeri itu dan akan mengumumkannya dalam masa terdekat.

Dalam majlis hari ini, YRMS menjalin kerjasama dengan Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia, Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan, Next Academy dan Selangor Human Resource Development Centre.

Menerusi kerjasama strategik bersama 4 institusi itu, sejumlah 660 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) bakal mendapat peluang tajaan YRMS untuk memulakan latihan kemahiran mereka.

LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: