Muhtar Suhaili dipercayai menegur menteri belia dan sukan kerana memakai seluar pendek atas paras lutut.
PETALING JAYA: Seorang pemimpin PAS menasihatkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya menunjukkan contoh lebih baik dalam etika berpakaian, sambil memuatnaik gambar menteri itu bersenam dengan memakai seluar pendek atas paras lutut.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Muhtar Suhaili memuatnaik gambar itu di Facebook kelmarin.
Tidak dapat dipastikan acara yang dipaparkan dalam gambar itu, tetapi Syed Saddiq pada hari pertama bertugas mengajak kakitangan kementerian bersenam sebelum atau selepas waktu bekerja.
“Saudara sebagai menteri belia dan sukan boleh tunjuk contoh yang lebih baik. Tiada keperluan membuat satu pembaharuan dan gempak yang tidak perlu.
“Saya bukan membahaskan batasan aurat, cuma sejuk mata memandang etika berpakaian pegawai-pegawai di sekeliling saudara yang lebih sesuai, sopan dan kondusif dalam suasana Malaysia.
“Ini nasihat keteladanan, bukan provokasi. Terima kasih,” kata Muhtar di Facebook.
Ketua Pemuda PPBM itu mengangkat sumpah jawatan di depan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, 2 Julai lalu. Ahli Parlimen Muar itu menjadi menteri persekutuan termuda dalam sejarah negara, pada usia 26 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan