Rabu, 4 Julai 2018

Peguam: Najib hanya dapat bayar jaminan RM500k hari ini

MALAYSIAKINI

   

Hakim Mahkamah Tinggi Sophian Abdul Razak menetapkan jaminan RM1 juta untuk semua empat pertuduhan dengan dua penjamin, terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Hakim juga mengarahkan tertuduh menyerahkan pasportnya.

Bagaimanapun, peguam Najib, Tan Sri Shafee Abdullah berkata, anak guamnya hanya dapat membayar separuh daripada jumlah itu hari ini.

"Pada Isnin, saya akan berusaha mendapat RM500,000 lagi," kata Shafee kepada mahkamah.

Peguam Negara Tommy Thomas sebagai pendakwa raya sebelum itu memohon ikat jamin sebanyak RM1 juta bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, Shafee membantah dengan menyatakan jumlahnya terlalu tinggi.

"Anak guam saya melalui anak-anak dan isterinya perlu meminta dari saudara-saudara mereka untuk mendapatkan wang.

"Mereka mempunyai sejumlah wang tetapi setakat ini tidak sampai RM4 juta," kata Shafee.

Shafee meminta ikat jamin ditetapkan antara RM500,000 hingga RM800,000, dengan dua penjamin bagi semua empat pertuduhan dan untuk tertuduh menyerahkan pasportnya.

Beliau berkata anak guamnnya bersedia menyerahkan geran rumah kepada mahkamah sebagai sebahagian daripada jaminan, selain semua akaun banknya telah dibekukan.

Najib mengaku tidak bersalah dan memohon perbicaraan atas empat pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Beliau dituduh pecah amanah berkaitan dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd (SRC).


Tiada ulasan: