Polis memberi amaran kepada Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz agar tidak membuat sebarang provokasi di kawasan sekitar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini ketika proses perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedang berlangsung, atau berdepan dengan tindakan undang-undang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa berkata setakat ini tiada penahanan yang dibuat terhadap Tun Faisal.
“Kami boleh tahan beliau (Tun Faisal) jika beliau mengulangi perbuatan sedemikian (provokasi) tetapi polis memberi amaran terlebih dahulu.
“Seperti yang kita tahu bahawa kawasan mahkamah adalah kawasan larangan dan setiap orang awam yang memasuki kawasan ini perlu mematuhi segala peraturan yang ditetapkan mahkamah,” katanya ketika ditemui Bernama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Kuala Lumpur.
Hari ini, Tun Faisal melakukan provokasi dengan melaungkan ‘Bebaskan Najib’ ketika bekas perdana menteri itu tiba di kompleks mahkamah.
Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semalam mengesahkan Najib ditahan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pada 2.35 petang.
Najib ditahan berkaitan kes penyelewengan dana berjumlah RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.
Hari ini, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Sementara itu, tinjauan Bernama setakat 12.37 tengah hari ini di kompleks berkenaan mendapati puluhan media tempatan dan antarabangsa masih menunggu perkembangan kes Najib di lobi mahkamah itu.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan