Selasa, 3 Julai 2018

Peguam Jamal tunggu maklumat lengkap PDRM



Peguam Jamal tunggu maklumat lengkap PDRM



Peguam kepada Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos, Datuk Mohd Imran Tamrin sedang menunggu maklumat lengkap daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penahanan anak guamnya di Indonesia hari ini.

Beliau ketika dihubungi Bernama, dipetik berkata, sekiranya perlu pihaknya akan ke negara jiran itu bagi menguruskan proses ekstradisi Jamal.

“Setakat malam ini tiada sebarang maklumat lengkap diperolehi berhubung penahanan beliau (Jamal), bagaimanapun kita sedia pergi ke Indonesia bagi memastikan proses membawa pulang Jamal berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata pihaknya berharap Jamal tidak diambil sebarang tindakan di Indonesia.

Terdahulu hari ini Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Jamal ditahan oleh Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) pada 6.15 petang.

Menurut Muhyiddin PDRM telah dihubungi untuk menyelaras urusan membawa pulang Jamal ke negara ini.

Jamal, 48, dilapor menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri pada 25 Mei dengan kehilangannya disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira 5.30 petang.

Jamal didakwa atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam, Selangor pada 5 Okt tahun lepas.

Selain itu beliau turut disiasat atas beberapa kes lagi termasuk di bawah Seksyen 34 Akta Senjata 1960.

Tiada ulasan: