Selasa, 3 Julai 2018

Kerajaan diingat supaya tidak balas dendam – Lim Kit Siang


Roketkini.com

Kerajaan Pakatan Harapan diingatkan supaya tidak membalas dendam ketika melaksanakan tanggungjawab menyiasat semua skandal berkaitan institusi kerajaan kata tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang.

Menurutnya, segala tindak tanduk kerajaan perlu adil dan tidak boleh menyamaratakan kesalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu terhadap pegawai-pegawai kanan kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC).

Beliau membangkitkan perkara ini memandangkan wujudnya penindasan dan salah guna kuasa kerajaan terdahulu terhadap mereka yang tidak bersalah khususnya pembangkang yang kini telah membentuk kerajaan baru.

“Di samping kerajaan Pakatan Harapan perlu jalankan siasatan, menyingkirkan dan mengheret mereka yang didakwa bersalah ke muka pengadilan seperti dalam skandal 1MDB, Felda dan Tabung Haji – kita perlu berhati-hati.

“Jangan sampai dilihat membalas dendam terhadap semua orang – mungkin di kalangan mereka berada di persimpangan atas apa yang dilakukan kerajaan dahulu kepada institusi-institusi ini,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, tindakan membalas dendam umpama menggali ‘dua lubang kubur’ dan mengikut jejak langkah BN.

“Satu kepada mangsa, satu lagi ialah anda sendiri. Ini adalah peringatan supaya kita tidak membuka ruang untuk membalas dendam,” katanya.

Merujuk kepada pemecatan pegawai-pegawai kanan kerajaan dan GLC, Kit Siang berkata masih ramai di kalangan mereka yang menunjukkan prestasi yang baik, berintegriti dan jujur.

“Kita tidak boleh samaratakan semua kesalahan mereka.

“Kerajaan Pakatan Harapan tidak boleh bertindak seperti kerajaan dahulu. Tidak boleh sama sekali,” katanya lagi. – Roketkini.com


Tiada ulasan: