THE MALAYSIAN TIMES
PUTRAJAYA: Pihak berkuasa tempatan (PBT) diwajibkan melantik sekurang-kurangnya 30 peratus anggota majlis wanita, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata langkah itu adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk mengarusperdanakan peranan wanita dalam kementerian dan PBT kerana pandangan golongan itu adalah pelengkap kepada undang-undang dan garis panduan serta rancangan pembangunan.
Zuraida berkata ketika ini purata penglibatan wanita sebagai anggota majlis PBT di seluruh negara ialah 14 peratus dengan negeri Selangor mempunyai peratusan tertinggi sebanyak 22 peratus.
“Ketika ini setiap PBT mempunyai 24 orang anggota majlis, jadi kalau 30 peratus, sekurang-kurangnya tujuh orang diwakili oleh wanita,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Menurutnya syarat itu juga perlu dipenuhi oleh setiap PBT bagi mendapatkan taraf lima bintang dalam Sistem Penggredan (Star Rating) PBT (SSR-PBT).
Zuraida berkata langkah itu juga adalah selaras dengan standard antarabangsa yang menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus anggota majlis tempatan wanita antaranya Konvensyen mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030.
Ditanya sama ada kementerian menetapkan tempoh tertentu untuk PBT mencapai peratusan tersebut, Zuraida berkata ia bergantung kepada tempoh kontrak anggota majlis masing-masing.
“Sasaran ini saya letakkan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana ahli majlis adalah lantikan politik, jadi apabila PH ambil alih lantikan lama akan gugur dan sekarang dalam fasa pelantikan baharu,” katanya.
Bagi memperkasakan peranan belia, katanya setiap PBT juga diminta menubuhkan satu lagi lapisan di bawah anggota majlis PBT yang dikenali sebagai Penggerak Belia Tempatan.
“Jadi kalau ada 24 anggota majlis, maka setiap PBT mesti ada 24 penggerak belia tempatan mengikut zon,” katanya.
Menurutnya dengan cara itu setiap belia yang terlibat diberi peluang membangunkan komuniti di kawasan masing-masing selain memainkan peranan dalam PBT dari segi sumbangan idea dan pandangan.
Pada majlis itu Zuraida turut menerima sumbangan berjumlah RM1.2 juta daripada tiga syarikat swasta untuk Tabung Harapan Malaysia.
Syarikat terbabit ialah The Green Ventures Sandalwood Plantation Bhd yang menyumbangkan sebanyak RM1 juta serta Adenland Group of Companies dan Intergreen Metals Sdn Bhd yang masing-masing menyumbangkan RM100,000.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan