Selasa, 3 Julai 2018

PEMILIHAN UMNO : NADZARI DAN AJK UMNO HULU SELANGOR DIDAKWA TAK SAH




Keputusan pemilihan UMNO Bahagian Hulu Selangor didakwa tidak sah kerana wujud lebihan sebanyak 440 kertas undi.

Calon Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian, Mohamad Mahyuddin Tajuddin berkata, pihaknya turut mempunyai bukti berlaku amalan politik wang dalam pemilihan bahagian itu.

“Sebanyak 683 kertas undi diterima dengan 95 daripadanya ialah undi rosak. Dalam setiap kertas undi itu, perwakilan perlu memilih 20 AJK yang menjadikan jumlah keseluruhan undi ialah 11,760.

“Sebaliknya berlaku apabila terdapat pertambahan undi sehingga 12,200 undi. Perkara ini merupakan sesuatu yang serius kerana ia melibatkan integriti serta imej UMNO.

“Sepatutnya Ketua Bahagian, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan yang diumumkan sebagai pemenang bersikap profesional dengan membatalkan keputusan pemilihan ini,” katanya ditemui pemberita di pejabat UMNO Selangor di Shah Alam, pada Selasa.

Sementara itu, calon Timbalan Ketua Bahagian, Zam Hasri Jaafar berkata, pihaknya telah menghantar surat bantahan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Datuk Seri Abu Hassan Omar berhubung isu tersebut.

“Kami mohon agar keadilan dan siasatan dapat diberikan kepada kami berkaitan salah laku pihak pengurusan UMNO Bahagian Hulu Selangor.

“Kami juga menolak semua kertas undi, semua jawatan dan proses pengudian yang dijalankan pada pemilihan kali ini dan mohon Mesyuarat Pemilihan UMNO Bahagian Hulu Selangor.

“Selain itu, ingin ditegaskan saya tidak kecewa kalah dalam pemilihan ini. Namun, biarlah pertandingan diadakan dalam suasana bersih serta berintegriti,” katanya.


Tiada ulasan: