Isnin, 23 Julai 2018

'Pastikan undang-undang lain juga patuhi piawaian PBB'

MALAYSIAKINI

    Kerajaan harus berunding dengan pelbagai pihak berkepentingan apabila memansuh atau meminda undang-undang zalim kerajaan BN sebelum ini, supaya undang-undang sedemikian sejajar dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

Peguam hak asasi, Syahredzan Johan dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebelum ini, undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dirangka "tanpa mengambil kira norma antarabangsa".

"Kerajaan digesa mendapatkan maklum balas dan bantuan dari pelbagai pihak berkepentingan seperti Majlis Peguam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan organisasi masyarakat sivil apabila mereka mahu menggubal sebarang undang-undang.

"Terutamanya berhubung keganasan, untuk memastikan undang-undang berkenaan mematuhi piawaian antarabangsa, menegakkan hak asasi manusia dan selaras dengan kedaulatan undang-undang," katanya.

Syahredzan berkata walaupun Sosma digubal untuk menangani jenayah yang berkaitan dengan keselamatan dan keganasan, yang diperlukan, namun ia gagal untuk mengimbangi hak suspek yang masih belum disabitkan oleh mana-mana mahkamah.

Beliau merujuk aspek "kezaliman" Sosma seperti penahanan 28 hari suspek tanpa memerlukan sebarang perintah mahkamah, penafian hak untuk diwakili dan tekanan untuk mengakui bersalah.

Tiada ulasan: