Isnin, 23 Julai 2018

SST bolehkan tingkatkan kuasa beli rakyat - penganalisis

 

   
Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 Sept depan dilihat memberi kelebihan kepada rakyat dalam mendepani keperluan menampung sara hidup.

Melalui cukai satu peringkat itu yang hanya perlu ditanggung oleh pengeluar atau pengilang, pengguna tidak lagi perlu membayar untuk harga ‘cukai atas cukai’ seperti yang dikenakan semasa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

SST juga hanya merangkumi 38 peratus daripada kumpulan barangan Indeks Harga Pengguna (IHP) berbanding 60 peratus yang dilaksanakan untuk GST.

Antara barangan yang tidak lagi dikenakan cukai selepas pelaksanaan SST ialah sardin, susu, kopi, teh dan sos cili.

Kementerian Kewangan memberi jaminan bahawa pelaksanaan SST yang ditambah baik kerajaan dapat mengembalikan kutipan cukai kira-kira RM23 bilion kepada rakyat serta mengurangkan beban kewangan mereka.

Tingkat kuasa beli

Penasihat Dewan Perniagaan Antarabangsa Kuala Lumpur yang juga pengerusi FM Plastic Industries Sdn Bhd Datuk Dr Sharifuddin Musa berkata pelaksanaan SST akan meningkatkan kuasa beli pengguna sekali gus merancakkan ekonomi negara.

Mengakui pelaksanaan itu pasti memberi kesan kepada pihak pengilang dan pengeluar kerana hanya pihak itu yang dikenakan SST, beliau bagaimanapun berkata ia tidak menjadi isu kerana manfaat yang lebih besar bakal dinikmati rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah dan sederhana.



“Semasa GST dilaksanakan, tidak kiralah golongan miskin atau kaya, mereka tetap dikenakan caj 6 peratus jika membeli barangan yang ada GST. Sebab itulah, ramai pengguna yang ‘sayang’ nak berbelanja (pada masa itu).

“Tetapi selepas ini, kuasa beli mereka akan bertambah kerana tidak perlu lagi membayar (lebih) seperti ketika ada GST,” katanya.

Selain itu, katanya, kadar SST yang dikenakan kali ini adalah sama seperti sebelum ini iaitu 6 peratus untuk cukai perkhidmatan dan 10 peratus cukai jualan.
“Cuma yang belum pasti ialah corak pengiraan yang mungkin berbeza. Tetapi, saya be
rharap bukan semua industri dikenakan SST,” katanya sambil meminta kerajaan agar mempertimbang pengecualian cukai itu untuk industri kecil dan sederhana, perniagaan kecil dan mungkin syarikat bumiputera.

Sharifuddin juga menyuarakan keyakinannya bahawa pelaksanaan SST akan kembali merancakkan industri perkhidmatan seperti perhotelan, perkhidmatan bas ekspres dan teksi kerana banyak penjimatan yang bakal diperoleh oleh penggiatnya.

Tingkat penguatkuasaan

Sementara itu, bekas pensyarah jurusan Pengurusan Perniagaan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Dr Mohamad Hanapi Mohamad berkata berdasarkan cukai sebelum ini, GST dan margin keuntungan akan berlaku di setiap peringkat rantaian bermula daripada pengilang, pemborong, peniaga sehinggalah kepada pengguna.

Beliau menjelaskan sekiranya ia melibatkan lebih banyak peringkat rantaian, pengguna yang perlu menanggung beban kerana terpaksa membayar harga yang lebih tinggi bagi sesuatu barangan yang dikenakan GST.

Sambil menyatakan sokongannya kepada pengenalan semula SST, beliau berpendapat kerajaan perlu mengutamakan aspek pemantauan dan penguatkuasaan dengan berkesan untuk memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya.



“Yang menjadi kebimbangan ialah harga bukan meningkat disebabkan SST tetapi tindakan pihak penjual yang melepaskan beban cukai itu kepada pengguna akhir (pembeli).

“Dalam melaksanakan sistem pencukaian ini terdapat elemen input, proses dan output. Penting untuk kita memantau bagaimana input dan proses itu berlaku supaya tidak berlaku ketirisan. Jika pihak terlibat dapat mengawasi perkara ini dengan baik, SST pastinya akan memberi lebih manfaat berbanding GST,” jelas beliau.

Mohamad Hanapi yang juga Anggota Lembaga Pengarah Picoms International University College (PIUC) berkata asas pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang meletakkan ketelusan dan integriti sebagai perkara asas pentadbiran mereka juga memberi kelebihan dalam pelaksanaan cukai baharu itu.

Elak jadi ‘bangau oh bangau’

Penasihat Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk Prof Mohd Hamdan Adnan pula berpendapat pelaksanaan SST dapat menurunkan harga barangan tetapi banyak faktor lain yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa.

Selain menekankan aspek penguatkuasaan yang efektif, katanya, pihak kerajaan juga perlu mengelak berleluasanya isu ‘bangau oh bangau’ – saling salah menyalahkan.

“Peruncit menyalahkan orang tengah, orang tengah pula menyalahkan pengilang...ia sering dijadikan alasan bagi kenaikan harga barang.



“Apa yang kita mahu ialah harga yang wajar bagi semua pihak, kita tak mahu peniaga rugi dan pada masa sama pengguna tertindas. Maka, kerajaan perlu mencari formula terbaik kerana terdapat banyak faktor yang terlibat… pihak berkenaan juga perlu kerap turun padang untuk memantau perkara ini,” katanya.

“Saya berharap kerajaan dapat mendengar suara dan keluhan rakyat serta sudilah mempertimbangkan tentangnya. Kerajaan juga perlu berkerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana ramai menteri sekarang pernah aktif dengan NGO... jadi, berilah kerjasama untuk manfaat rakyat dan negara,” katanya.- Bernama


Tiada ulasan: