Rabu, 18 Julai 2018

N Sembilan minta kastam beri taklimat SST kepada exco, wakil rakyat

 
Menteri Besar Aminuddin Harun berkata taklimat tersebut perlu supaya wakil rakyat memahaminya dengan baik sebelum menyampaikannya kepada rakyat.


Aminuddin Harun berkata taklimat itu perlu dibuat agar rakyat faham tujuan pelaksanaan SST. (Gambar Bernama)


SEREMBAN: Kerajaan negeri akan meminta pihak Kastam Diraja Malaysia untuk memberi taklimat berkenaan sistem percukaian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada para exco dan wakil rakyat.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata taklimat tersebut perlu dibuat supaya wakil rakyat dapat memahaminya dengan baik sebelum menyampaikannya kepada rakyat berkenaan pelaksanaan SST ini.

“Perkara ini juga telah dibangkitkan semasa mesyuarat Exco tadi dan kita akan buat surat supaya pihak kastam memberi penerangan dan kita akan jemput media supaya turut serta.

“Perkara ini perlu dibuat agar rakyat faham tujuan pelaksanaan SST dan bagaimana sistem ini akan membantu pendapatan negara,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengisytiharan Dokumen Harta Anggota Exco Negeri Sembilan yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan negeri Negeri Dr Razali Ab Malik.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada Isnin mengumumkan SST yang akan dibentangkan di Parlimen bulan depan mencadangkan 10% bagi cukai jualan dan 6% bagi cukai perkhidmatan.

Tiada ulasan: