Rabu, 18 Julai 2018

Peguam syariah sokong SOP nikah bawah umur

 
Musa Awang berkata hakim perlu patuhi garis panduan, manakala Nizam Bashir berkata matlamat kerajaan hendaklah untuk menghalang perkahwinan kanak-kanak. 


Musa (kiri) dan Nizam (kanan) menyokong SOP menangani isu pernikahan bawah umur.


PETALING JAYA: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyokong rancangan menetapkan satu tatacara operasi standard (SOP) untuk pernikahan bawah umur sebagai panduan para hakim mahkamah syariah seluruh negara.

Presiden Musa Awang berkata budi bicara hakim mahkamah syariah dalam menentukan kes pernikahan melibatkan perempuan berusia 16 tahun ke bawah dan lelaki berusia 18 tahun ke bawah mestilah berpandukan satu garis panduan yang seragam.

Ketika ini undang-undang syariah terletak di bawah bidang kuasa negeri, dan penentuan kes pernikahan bawah umur terletak pada budi bicara hakim.

“Dalam menjalankan kuasa budi bicara, neraca pertimbangan hakim syarie adalah hukum syarak dan keadilan kepada semua pihak terlibat iaitu kanak-kanak, wali dan bakal suami,” katanya.
Musa mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh yang mengumumkan kerajaan cenderung menyeragamkan tatacara untuk hakim mahkamah syariah di seluruh negara, bagi menangani masalah yang berbangkit dalam isu pernikahan bawah umur.

Langkah itu menyahut gesaan orang ramai yang mahu satu undang-undang menyeluruh bagi sama sekali melarang pernikahan bawah umur 16 ke bawah bagi perempuan dan 18 bagi lelaki.

Musa berkata pihaknya menyokong langkah itu kerana budi bicara hendaklah dilakukan berdasarkan satu standard yang ketat dan bukan mengikut perasaan pada masa-masa itu.

“SOP yang akan dibuat inilah yang akan mengandungi garis panduan syarak tersebut,” katanya.
Sementara itu, seorang peguam syariah, Nizam Bashir berkata usaha menyeragamkan tatacara melibatkan semua negeri merupakan langkah ke arah betul.

“Matlamat utama kerajaan hendak bukan sekadar menyeragamkan tatacara untuk perkahwinan sebegini, tetapi menghalang mana-mana perkahwinan yang membabitkan kanak-kanak,” katanya.

Nizam menjelaskan penyeragaman tatacara lazimnya dilaksanakan dengan arahan daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Isu perkahwinan bawah umur hangat dibincangkan baru-baru ini, selepas Che Abdul Karim Che Abdul Hamid, 41, mengahwini seorang kanak-kanak warga Thailand berusia 11 tahun, Masaryu Mat Rashid di Sungai Golok, pada 18 Jun lalu.

Peraih getah sekerap dari Gua Musang, Kelantan itu mengakui sebelum bernikah dengan isteri ketiganya, beliau terlebih dahulu meminta kebenaran ibu bapa kanak-kanak itu dengan syarat mereka nikah gantung terlebih dahulu dan akan tunggu 5 tahun untuk tinggal bersama.

Majlis Agama Islam Narathiwat mendapati pernikahan pasangan itu dilakukan seorang imam di Kampung Padang Nyor, Mukim Munok, Sungai Golok di Narathiwat, tanpa kebenaran pihak berkuasa agama wilayah itu dan perkahwinan itu belum didaftarkan dengan Majlis Agama Islam Narathiwat.

Pada 9 Julai lalu, Karim didenda Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang sebanyak RM1,800 selepas mengaku bersalah terhadap 2 pertuduhan, iaitu berkahwin serta berpoligami tanpa kebenaran.

Tiada ulasan: