Selasa, 17 Julai 2018

MCA: Apa jadi lawak 'menteri pintu belakang' Chin Tong?

MALAYSIAKINI

   
Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong merupakan salah seorang yang dilantik sebagai senator petang ini. Pelantikan itu membuatkan Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong mengimbas tentang kenyataan 'menteri pintu belakang' Liew.

Wee mengingatkan semula suatu ketika Liew memperlekeh Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon yang dilantik sebagai senator dan seterusnya timbalan menteri meskipun tidak bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) 2013.

"Saya ingat betapa kerap dia (Liew) memperli dan menjadikan pelantikan Chong itu sebagai jenaka.
Dia malah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak wujud 'parlimen pintu belakang' yang membolehkan pelantikan itu.

"Apa jadi dengan pendirian itu sekarang? Liew perlu menjelaskan parlimen pintu belakang mana yang dia wakili. Dia tidak boleh suka hati tukar pendirian," katanya kepada Malaysiakini.

Liew yang dilantik menjadi senator mengangkat sumpah sebagai timbalan menteri pertahanan petang tadi.

Wee, yang mengalahkan Liew pada PRU 9 Mei lalu di kerusi parlimen Ayer Hitam juga menjelaskan bahawa Liew tidak dipaksa untuk menerima pelantikan itu.

"Saya perlu ucapkan tahniah kepadanya atas pelantikan itu. Bagaimanapun, saya juga perlu ingatkan bahawa dia tidak dipaksa menerima pelantikan itu. Seseorang itu perlu bersetuju sebelum mengangkat sumpah," katanya.

Fail petisyen

Pada 12 Jun lalu, Liew memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan kerusi Ayer Hitam.

Peguamnya Yeo Yang Poh berkata kes itu mempunyai asas memandangkan mahkamah akan mengkaji semula dakwaan salah laku dalam proses pilihan raya termasuk pada hari mengundi, dan ini akan membantu memperbaiki proses pilihan raya agar jadi lebih adil.

Pada PRU ke-14 itu, Liew mendapat 16,773 undi sementara Wee yang merupakan penyandang kerusi Ayer Hitam mendapat 17,076 undi untuk memberi kemenangan tipis 303 undi.

Calon PAS Mardi Marwan mendapat 4,975 undi. Kerusi itu juga mencatat 556 undi rosak dan 94 undi yang tidak dipulangkan semula.

Peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 85.52 peratus daripada 46,157 jumlah pengundi berdaftar.

Mengulas perkara itu, Wee mengalu-alukan petisyen itu dan berharap ia akan membuktikan dirinya tidak bersalah.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga mengimbas situasi pada malam 9 Mei itu.

"Lewat malam 9 Mei itu, Liew hubungi saya dan mengaku kalah serta mengucapkan tahniah kepada saya. Saya beritahu dia bahawa saya tidak boleh gembira kerana ramai rakan saya di BN dan MCA kalah.

"Saya harap petisyen itu akan membuktikan saya tidak bersalah sekali lagi," katanya.

Tiada ulasan: