Isnin, 2 Julai 2018

Aishah ucap salam perpisahan... kepada politik

MALAYSIAKINI

   

Selepas lapan tahun melibatkan diri sebagai antara aktivis politik, penyanyi Aishah 'pulang' ke lubuk asalnya - sebagai penghibur sepenuh masa.

Penyanyi Pulanglah itu mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan sepak terajang siasah demi memberi sepenuh perhatian kepada kerjaya terdahulu.

“Dulu bermula dari bidang seni, sekarang kembali fokus kepada bidang ini.

“Selamat tinggal politik, dari saat ini saya seperti orang lain menjadi pemerhati dan pengundi sahaja,” katanya di Instagram.

Turut dikenang sebagai penyanyi lagu Camar Yang Pulang, Aishah pernah menjadi anggota PAS dan aktif berkempen untuk parti berkenaan.

Dia kemudian dicalonkan untuk mencabar BN di kerusi parlimen Jempol. Bagaimanapun Aishah terpaksa akur kepada pengaruh nama besar dalam Umno, Tan Sri Isa Samad.

Kedua-dua mereka dipisahkan 8,614 undi pada pilihan raya umum (PRU) 2013 itu.

Ada lagu baru

Apabila PAS mengalami krisis dan berpecah, Aishah menyertai kumpulan beraliran sederhana menubuhkan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Bagaimanapun dia tidak bertanding pada PRU ke-14 yang diadakan pada 9 Mei lalu. AMANAH pula - bersama PKR, DAP dan BERSATU - kini berjaya membentuk kerajaan di peringkat pusat, selain menguasai hampir semua negeri di seluruh Malaysia.

Selepas bergelar juara Gegar Vaganza musim keempat Aishah masih giat menyertai program politik dan ceramah untuk membantu Pakatan Harapan.
 
Aishah menyatakan antara harapannya ialah untuk melihat kerajaan sekarang tidak menyekat periuk nasi mana-mana penyanyi hanya kerana seseorang itu berbeza pandangan politik.

Keputusan Aishah turut mendapat respon positif daripada peminat yang kebanyakannya berharap untuk melihat penyanyi itu kembali dengan buah tangan terbaru.

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Aishah dijangka melancarkan single terbaru, Malar, yang mendapat sentuhan penyanyi dan komposer berbakat Hazami.

Aishah bakal memperdengarkan Malar buat julung kali pada Konsert Pesta Raya 2018, Dua Diva bersama Liza Hanim di Dewan Espelenade, Singapura pada 13 Julai ini.

Sementara itu melalui hantaran petang tadi Aishah berkata antara keinginan seseorang dalam hidup ialah mencari kebahagiaan dan ketenangan.

"Di hujung-hujung usia ni lebih-lebih lagi, langkah paling baik ialah membuang segala toksik dalam kehidupan.

"Hidup dalam kalangan (orang) yang sayangkan dan hormati kita dan sebaliknya," katanya.


Tiada ulasan: