Isnin, 2 Julai 2018

KDN kaji cadangan naikkan had umur perkahwinan kanak-kanak

Terdapat aspek perundangan yang perlu diteliti terlebih dahulu untuk menaikkan had umur perkahwinan kanak-kanak perempuan daripada 16 kepada 18 tahun.



Muhyiddin mahu merujuk cadangan kepada agensi, jabatan dan pemimpin masyarakat dan agama. (Gambar Bernama)


PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengkaji cadangan yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail agar had umur perkahwinan membabitkan kanak-kanak perempuan dinaikkan daripada 16 kepada 18 tahun.

Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata terdapat aspek perundangan yang perlu diteliti terlebih dahulu.

“Bukan pasal kita setuju atau tidak setuju. Pasal ada aspek perundangan yang boleh kita teliti, kalau itu dianggap sesuai mengikut keadaan masa.

“Juga boleh kita ambil langkah tertentu dari segi pandangan pemimpin masyarakat, agama dan sebagainya.
“Kalau umumnya mengatakan itu satu langkah yang boleh kita laksanakan, kita akan laksanakan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Jabatan Pendaftaran Negara di sini hari ini.

Sebelum ini, Wan Azizah menyatakan perkahwinan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Gua Musang, Kelantan yang tular di media sosial sejak Jumaat lalu tidak sah dari segi undang-undang.

Ini kerana wali kanak-kanak itu, iaitu si bapa, tidak mendapat kelulusan mahkamah, seperti yang ditetapkan undang-undang dalam urusan perkahwinan bawah umur, selain isu usia kanak-kanak itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata pihaknya perlu merujuk cadangan berkenaan kepada agensi dan jabatan terlibat bagi mendapatkan maklumt terperinci.

“Kita kena perhalusi dari sudut undang-undang,” katanya.

Tiada ulasan: