Ahad, 14 Januari 2018

Tukar nama upacara kerana krisis lantikan CJ

DETIK DAILY

 
Oleh HANIFF KHATRI

 Pembukaan Tahun Perundangan (Opening of the Legal Year) adalah satu upacara dalam cabang kehakiman dan perundangan kebanyakan negara Komanwel, dan menurut Sejarah, catatan Upacara ini mulai wujud di England sejak Zaman Pertengahan (Medieval Ages), iaitu Kurun Ke-5 hingga Ke-15.

Upacara ini, mengikut sejarah, adalah melibatkan para Hakim yang akan berarak (sebenarnya berjalan secara beradab), dari Temple Bar ke Westminster Abbey untuk upacara keagamaan, diikuti dengan Majlis Sarapan yang dinamakan 'Lord Chancellor's Breakfast', yang diadakan di Westminster Hall.

Upacara itu juga telah diteruskan untuk setiap tahun sejak ia bermula di England, dengan pengecualiannya pada tahun 1940 hingga 1946, di mana ianya tidak diadakan disebabkan Perang Dunia Kedua.

Walhal upacara ini cuma tidak diadakan di Westminster Abbey pada tahun 1953, namun diadakan di St Margaret's Church, pada tahun itu, kerana Westminster Abbey masih terhias untuk upacara Pertabalan Ratu Elizabeth Kedua pada masa itu.

Kembali ke tanahair, Upacara Pembukaan Tahun Perundangan (Opening of the Legal Year) telah dibawa kembali pada tahun 2010 semasa era Mantan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi (gambar, bawah), di mana secara tradisinya Presiden Majlis Peguam dan Peguam Negara akan menyampaikan ucapan masing-masing untuk tahun tersebut, bagi tujuan meraikan dan berkongsi isu-isu yang membabitkan pengamal perundangan peguambela dan peguamcara, serta peguam persekutuan dan timbalan pendakwa raya, dengan pihak kehakiman.


 
Malangnya, pada tahun ini, disebabkan kewujudan satu krisis perlembagaan dalam cabang kehakiman, telah mendorong tradisi Pembukaan Tahun Perundangan (Opening of the Legal Year) ini, bukan sahaja tidak disertai peguambela dan peguamcara yang berdaftar dengan Majlis Peguam, malah melibatkan pertukaran nama upacara itu sendiri kepada 'Pembukaan Tahun Kehakiman' (Opening of the Judicial Year).

Apakah punca kepada keganjilan ini dan apakah sebabnya krisis perlembagaan ini?

Sejak 4 Ogos 2017, di mana selepas tempoh Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif telah mencapai umur persaraan mandatori di sisi Perlembagaan Persekutuan (menurut pendapat sebahagian para peguam), dan di atas nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada Ke-Bawah Duli Yang Di-Pertuan Agong, melalui pelantikan semula/ pelanjutan perkhidmatan Md Raus sebagai Ketua Hakim Negara telah diadakan selepas memperolehi perkenan Tuanku.


 
Permasalahan yang sama telah menyelubungi pelantikan semula/ pelanjutan perkhidmatan Tan Sri Zulkifli Makinuddin (gambar, atas) menduduki jawatan Presiden Mahkamah Rayuan selepas daripada itu.

Berlanjutan daripada itu, beberapa pihak individu, seperti Tun Dr Mahathir Mohamad serta institusi Majlis Peguam, telah memfailkan beberapa bentuk cabaran perundangan di mahkamah, untuk memperolehi keputusan mahkamah berkaitan isu tersebut, sama ada ianya mematuhi ataupun tidak terhadap peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Cabaran-cabaran perundangan itu, masih wujud di beberapa tahap hiraki mahkamah dan masih perlu melalui beberapa proses kehakiman sebelum Mahkamah Persekutuanakan akhirnya mengeluarkan keputusan tertinggi berkaitan isu krisis perlembagaan ini kelak.

Menurut laporan Malaysiakini bertarikh 12 Januari 2018 bertajuk 'CJ: Bar insistent on bringing up extension, appointment issues', ianya telah menyatakan :

"Chief Justice Md Raus Sharif today explained that he decided to deliver the sole speech at the opening of the Legal Year as the Malaysian Bar was insistent on bringing up the issue of tenure extension and appointments involving him and Court of Appeal president Justice Zulkefli Ahmad Makinudin."


 
Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif (gambar, atas) dalam laporan Malaysiakini juga telah menjelaskan bahawa beliau memutuskan untuk menyampaikan ucapan tunggal pada majlis Pembukaan Tahun Perundangan pada tahun ini.

Menurutnya ini kerana Badan Peguam Malaysia membangkitkan isu lanjutan tempoh pelantikan melibatkan beliau dan presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.
Bercakap kepada sidang akhbar, Raus berkata beliau telah mengadakan beberapa pertemuan dengan Badan Peguam Malaysia sebelum majlis hari ini dan beliau telah memberitahu mereka supaya tidak menimbulkan masalah dalam ucapan mereka kerana badan itu telah pun membuat permohonan (cabaran pelantikan) di mahkamah.

"Jadi tidak sesuai untuk mereka membangkitkannya di sini. Sekiranya anda bercakap tentang isu itu, peguam negara (Tan Sri Mohamed Apandi Ali) mungkin mahu menjawabnya dalam ucapannya.
"Saya juga melihat dua halaman salinan ucapan Presiden Badan Malaysia (George Varughese) dan dia mahu membangkitkan isu itu," kata Md Raus.

Alasan remeh, tak kukuh

Saya sesungguhnya berpendapat alasan yang diberikan Md Raus sebagai Ketua Hakim Negara dalam hal itu, bukan sahaja merupakan alasan yang tidak kukuh, malah remeh, serta menzahirkan bagaimana Prinsip Keadilan Asasi (Principles of Natural Justice) telah sekali lagi dimungkiri.

Berhubung alasan tidak kukuh dan remeh ini, saya ingin membangkitkan beberapa persoalan.

Bukankah kewujudan satu krisis perlembagaan, tambah-tamah lagi membabitkan secara langsung isu kesahihan ataupun ketidaksahihan kerusi ketua hakim negara dan presiden mahkamah rayuan adalah isu-isu terkini dalam masyarakat, yang mewajibkan Majlis Peguam menyentuhnya dalam ucapan badan itu?

Juga, sekiranya Peguam Negara berhasrat untuk menyentuhnya dalam Ucapan Peguam Negara pun, bukankah itu haknya untuk membangkitkan alasan menyokong tasiran berbeza untuk fahaman masyarakat?

Bukankah, isu bahawa cabaran-cabaran itu wujud di mahkamah tidak menghalang satu perbincangan ilmiah oleh pihak-pihak berkenaan berkaitan satu isu yang berkemungkinan telah mencetuskan satu krisis perlembagaan?

Hentikan ucapan, keputusan peribadi

Berhubung dengan isu berkaitan bagaimana Prinsip Keadilan Asasi (Principles of Natural Justice) telah dimungkiri pula, saya ingin mengajukan beberapa pertanyaan.

Bukankah apa yang dicabar di mahkamah cuma berkaitan hanya dua kerusi tertinggi sahaja, iaitu Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan dan tidak melibatkan kesemua hakim lain di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi sama-sekali, dan bukankah mereka yang lain di dalam kehakiman berhak mendengar pandangan dan berbincang sesama sendiri berkaitan krisis perlembagaan?

Bukankah tindakan Md Raus dalam kapasitinya sebagai Ketua Hakim Negara telah sepatutnya tidak membuat keputusan secara peribadi berkaitan memberhentikan Ucapan Presiden Majlis Peguam dan Peguam Negara, yang biasa dilakukan dalam upacara ini, dan seterusnya menukarkan nama upacara daripada Pembukaan Tahun Perundangan (Opening of the Legal Year) ke 'Pembukaan Tahun Kehakiman' (Opening of the Judicial Year), tindakan-tindakan mana sebenarnya adalah menjurus kepada kemungkiran Prinsip Keadilan Asasi (Principles of Natural Justice), kerana kerusi Ketua Hakim Negara mempunyai kepentingan dalam isu krisis perlembagaan ini?

Dalam hal ini, saya dengan penuh takzim mengatakan bahawa saya tidak setuju dengan pilihan dan keputusan Md Raus dalam kapasitinya sebagai Ketua Hakim Negara berkaitan isu krisis perlembagaan ini.
 
*HANIFF KHATRI ialah peguam kepada Dr Mahathir Mohamad. 
 
 

Tiada ulasan: