Ahad, 14 Januari 2018

Teksi nafi ugut kerajaan, tanya mana penyelesaian yang dijanjikan

 
Pengusaha tidak berpuas hati kerana akta yang diluluskan tidak dikuatkuasakan dan bidang kuasa e-hailing belum ditentukan.


Shamsubahrin-e-hailing

PETALING JAYA: Seorang pengusaha teksi membantah reaksi kerajaan selepas menteri berkata Putrajaya tidak gentar dengan ugutan pemandu teksi akan mengundi pembangkang jika isu perkhidmatan e-hailing tidak diselesaikan.

Pengasas Big Blue Taxi, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata mereka tidak mengugut tetapi kecewa berkaitan masih tidak dikuatkuasakan dan bidang kuasa e-hailing masih belum ditentukan.

“Saya sedia maklum kerajaan tidak takut apa-apa ugutan…bukan daripada saya sahaja tetapi sesiapa sahaja mereka tidak takut,” katanya kepada FMT.

Beliau mengingatkan para pengusaha dan pemandu menyokong sistem e-hailing tetapi mahu sistem itu berjalan selaras undang-undang.

Pada 27 Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengawal selia syarikat e-hailing seperti Uber dan Grab.

“Kata dah lulus akta tapi akta tidak dikuatkuasakan lagi. Kerajaan sendiri belum umum e-hailing berada di bawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat atau Jabatan Pengangkutan Jalan,” kata Shamsubahrin.
Uber dilancarkan di Kuala Lumpur pada 2013 sementara aplikasi GrabCar dilancarkan 2014.

Pada Khamis, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi memaklukan kerajaan masih sedang mencari jalan untuk membantu pemandu teksi dan tidak memihak kepada perkhidmatan e-hailing yang semakin mendapat sambutan pengguna.

Zahid meminta Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri untuk bertemu para pemandu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang, Zailani Isausuludin juga menafikan pemandu teksi mengugut kerajaan.

“Kita persoal tiada seorang pemimpin BN datang ketika kita berada di Parlimen sebanyak 3 kali. Masa kita buat konvensyen Julai lepas, kita jemput Datuk Seri Nancy dan SPAD tapi mereka tak datang.”

Beliau mengingatkan para pemandu terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk penyokong Barisan Nasional.

“Dalam konvensyen itu kita hanya sebut BN tidak mahu ke undi kami? Pemandu kita ada penyokong Umno, PAS, PKR, MCA, MIC, Gerakan, PPBM dan pelbagai,” katanya.

Tiada ulasan: