Ketua
Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Dzulkifli
Ahmad menerima dokumen perjanjian dari Ketua Penolong Pengarah Bahagian
Kampung Baru, Tan Swee Keng sambil disaksikan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (tengah) pada Majlis Ikrar Bebas
Rasuah di Wisma MCA, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI,
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
menerima senarai calon-calon parti politik yang akan bertanding pada
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang mengesahkan
perkara itu berkata, penerimaan senarai itu merupakan saringan yang
dibuat sebagai kebiasaan sebelum menjelang PRU.
Menurutnya, beliau yakin beberapa senarai calon daripada parti-parti politik akan diserahkan dalam masa terdekat.
“Mungkin mereka belum serah senarai kepada SPRM kerana calon parti politik berkenaan masih dalam penelitian pucuk pimpinan.
“Parti politik mana yang serah tidak perlu dimaklumkan… biarlah rahsia,” katanya.
Tan Sri Dzulkifli Ahmad
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis
lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
Kampung (JKKK) Kampung Baru Cina, di Wisma MCA, di sini hari ini.
Hadir sama menyaksikan ikrar tersebut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Sementara itu, Dzulkifli menjelaskan, maklumat tambahan yang
diserahkan Parti Cinta Malaysia (PCM) mengenai isu terowong bawah laut
Pulau Pinang kini dalam penelitian lanjut pihaknya.
Katanya, maklumat berkenaan lebih berkisar kepada proses pembayaran
penukaran hak milik tanah di negeri tersebut susulan pelaksanaan projek
mega terbabit.
“PCM bukan buat laporan kepada SPRM berhubung isu terowong bawah laut
Pulau Pinang, tetapi mereka berikan maklumat tambahan mengenai
perincian pembayaran tukar milik tanah susulan projek terbabit.
“Kalau ada asas, kita akan buka kertas siasatan bagi membolehkan SPRM
mengambil tindakan selanjutnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan