GEORGETOWN: Beberapa pejabat agensi kerajaan di Kompleks Tun Abdul
Razak (KOMTAR), yang mempunyai kaitan dengan projek pembinaan terowong
dasar laut, diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Operasi berkenaan dilakukan jam 9 pagi tadi, turut menyerbu beberapa syarikat berkaitan yang beroperasi di sekitar negeri ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki,
berkata serbuan itu dibuat bagi membantu siasatan kes berkaitan projek
mega, yang akan menghubungkan Persiaran Gurney, di sini ke Bagan Ajam di
Seberang Perai Utara.
Beliau berkata, pihaknya akan meneliti dokumen yang dirampas dalam
serbuan itu bagi memastikan siasatan lebih menyeluruh dapat dijalankan.
"Kita ambil dahulu semua dokumen berkaitan projek ini untuk meneruskan
siasatan serta untuk kaji isu berbangkit mengenai projek terowong dasar
laut.
"Serbuan ini dibuat berdasarkan bukti baharu berkaitan projek pembinaan
terowong dasar laut yang dikemukakan kepada SPRM," katanya seperti
dilaporkan BH Online.
Difahamkan, SPRM menyerbu pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Tanah dan
Galian serta Jabatan Penilaian di KOMTAR dan Jabatan Kerja Raya (JKR)
negeri di Jalan Sungai Pinang, di sini.
Selain itu, pejabat syarikat pemaju Ewin-Zenith Sdn Bhd, 555 Capital Sdn Bhd dan Konsortium Zenith di sekitar negeri ini.
Sabtu lalu, Parti Cinta Malaysia (PCM) membuat laporan kedua dan
mengemukakan bukti baru kepada SPRM berhubung projek terowong dasar laut
dirangka kerajaan DAP Pulau Pinang.
Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer, yang menghubungkan
Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama
itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd, yang terdiri
daripada beberapa syarikat.
Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos
kajian kebolehlaksanaannya yang terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran
membabitkan pertukaran tanah kerajaan negeri.
Pelaksanaannya juga dibantah dibantah penduduk yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Oktober tahun lalu, Kerajaan DAP Pulau Pinang mengakui gagal
menyerahkan laporan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut kepada
Kementerian Kerja Raya, dengan alasan jangkaan pelaksanaan projek
terbabit masih lambat, iaitu pada 2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan