ISMA WEB
KUALA PILAH
– Penurunan suhu dengan Kuala Pilah di Negeri Sembilan merekodkan suhu
paling rendah iaitu 21 darjah Celcius, menjadi fenomena luar biasa bagi
penduduk di kawasan itu, meskipun sebelum ini mereka sudah terbiasa
dengan cuaca sejuk berbanding kawasan lain.
Seorang
suri rumah Norizan Mahadi, 58, yang menetap di Taman Seri Ulu Bendul,
Kuala Pilah sejak 17 tahun lalu berkata, keadaan sejuk di kawasan ini
bukanlah sesuatu yang pelik memandangkan kediamannya berdekatan dengan
gunung, namun fenomema sejuk yang berlaku sejak empat hari lepas,
ternyata agak luar biasa.
“Cuaca
sejuk sejak empat hari lepas merupakan pengalaman pertama sejak saya
menetap di sini sehingga tidak perlu memasang kipas di siang hari.
“Ketika
waktu malam pula, suhu lebih sejuk berbanding waktu siang dan dinginnya
terasa seakan berada di dalam peti ais,” katanya kepada Bernama di sini,
hari ini.
Sementara
itu, pemandu teksi Md Tahir Md Derus, 46, berkata keadaan berkabus di
sekitar kawasan Kuala Pilah pada kali ini adalah luar biasa apabila
bukan bersifat sementara sebaliknya kabus sepanjang masa.
“Kawasan
ini sentiasa diselubungi kabus pada masa-masa tertentu, tetapi sejak
beberapa hari kebelakangan ini kabus sentiasa ada sehingga mengaburi
jalan raya dan menyukarkan pemanduan,” katanya.
Katanya
suhu sejuk seperti ini juga jika berpanjangan dikhuatiri akan
menjejaskan kesihatan, justeru bagi mengelakkan demam, selsema dan
sebagainya, penduduk dilihat mula memakai pakaian sejuk untuk memastikan
suhu badan mereka kekal panas.
Tinjauan Bernama di Kuala Pilah mendapati cuaca mendung dan dingin sejak awal pagi tadi serta berkabus.
Jabatan
Meteorologi Malaysia sebelum ini mengesahkan beberapa kawasan
terutamanya di selatan Semenanjung mengalami penurunan suhu dengan Kuala
Pilah di Negeri Sembilan merekodkan suhu paling rendah pada 21 darjah
Celcius sejak tengah malam kelmarin hingga awal pagi semalam.
Ketua Pengarahnya Alui Bahari berkata keadaan itu, bagaimanapun adalah fenomena biasa ketika musim monsun timur laut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan