Sabtu, 13 Januari 2018
PSM Sedia Tanding 3 Penjuru, Tidak Mahu Lagi Guna Logo PKR
Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersedia bertanding tiga penjuru, mempertahankan Parlimen Sungai Siput menggunakan logo sendiri dan enggan lagi bertanding menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 seperti yang lazim dilakukannya pada dua PRU lalu.
“Kali ini kami akan menggunakan lambang PSM, ini yang kita putuskan, tiada lagi isu untuk kembali menggunakan lambang PKR (seperti dua PRU lalu).
“Pada PRU lalu, ramai ahli kita yang keliru apabila (calon PSM) bertanding guna tiket PKR,” kata Timbalan Pengerusi PSM, M Sarasvathy dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj, dalam sebuah akhbar hari ini, yang mahu mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU Ke-14 menggunakan lambang PSM, dan bukan PKR seperti dilakukan pada PRU Ke-12 dan Ke-13.
Dr Jeyakumar satu-satunya Ahli Parlimen PSM yang menang di Sungai Siput sejak PRU 12 yang menggunakan logo PKR.
“Di Parlimen pun, wakil rakyat kita tidak guna lambang PKR, tetapi PSM, jadi adalah lebih wajar kali ini bertanding guna lambang sendiri,” katanya.
Dalam pembahagian kerusi Pakatan Harapan (PH) yang diumumkan Ahad lalu, Parlimen Sungai Siput akan ditandingi oleh calon PKR.
Jika PKR mahu meletakkan calonnya sendiri di Parlimen itu, Sarasvathy berkata PSM akan melawannya dan yakin Dr Jeyakumar akan terus mengekalkan kemenangan kerana pengundi di Sungai Siput mengenali keperibadiannya.
Katanya, PSM sentiasa sedia berbincang dengan PH, malah turut menghantar surat meminta diadakan perbincangan tetapi sehingga kini pintu perundingan masih belum terbuka untuk parti berkenaan.
Tambahnya, PSM bakal bertanding di lima kawasan Parlimen dan 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara pada PRU 14.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan