KUALA LUMPUR: Sebahagian kecil lantai bangunan Pencawang Masuk Utama
(PMU) TNB berhampiran MRT Cochrane yang sedang dalam pembinaan runtuh
pada jam 5.30 petang semalam mengorbankan seorang pekerjaan binaan warga
Bangladesh.
Menurut kenyataan Tenaga Nasional Berhad (TNB), kejadian dipercayai
berlaku apabila perancah tapak lantai (staging for floor slab) di
tingkat tiga runtuh ketika kontraktor sedang melakukan kerja-kerja
menuang konkrit di tingkat tersebut.
Tahap kerosakan akibat runtuhan dan punca berlakunya runtuhan masih dalam siasatan.
Sementara itu, pihak MRT Corp memaklumkan kejadian runtuhan substesen itu tiada kaitan dengan projek MRT.
“Tiada kerja pembinaan di bawah MRT Corp atau kontraktor berkaitan di
lokasi berkenaan. Projek di substesen itu dikendalikan oleh TNB dan
bukan sebahagian daripada projek MRT,” kata Pengarah Perhubungan Awam
MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah.
“Tidak ada lagi kerja pembinaan sedang dijalankan oleh MRT Corp atau
mana-mana kontraktornya di tapak Stesen MRT Cochrane. Jadi, substesen
yang kini sedang dibina oleh Tenaga Nasional Berhad bukan sebahagian
daripada Projek MRT,” kata beliau lagi.
“Substesen tersebut terletak bersebelahan dengan Stesen MRT Cochrane,
jadi substesen itu menggunakan nama berdasarkan lokasi ini,” jelasnya.
Beliau menambah projek di substesen itu dipercayai satu projek menaik taraf bekalan elektrik di kawasan tersebut.
Dalam pada itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pudu, Armdan Mahad
mengesahkan pekerja warga Bangladesh yang maut berusia sekitar 20an dan
sehingga pukul 12 tengah malam tadi usaha untuk mengeluarkan mayat
mangsa masih diteruskan.
"Sejumlah 30 anggota bomba dikerahkan bagi membantu usaha-usaha
membersih dan menyelamat. Selain bomba, anggota dari RELA, Polis dan
Jabatan Pertahanan Awam turut membantu.
"Ketika kejadian terdapat lima pekerja di lokasi namun empat daripada
mereka terselamat tanpa sebarang kecederaan," katanya ketika ditemui
pemberita di lokasi kejadian.
Mangsa yang maut dipercayai sedang menjalankan kerja-kerja memampatkan
simen sebelum struktur runtuh menyebabkan mangsa tertimbus.
Turut dimaklumkan hanya lantai di tingkat tiga yang runtuh, dan ia hanya melibatkan 20 peratus dari keseluruhan lantai.
Kerja-kerja mengeluarkan mangsa dijangka mengambil masa kerana terdapat
banyak cerucuk dan perancah (scaffolding) yang boleh membahayakan
pekerja penyelamat jika tidak dilakukan dengan teliti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan