MUTAKHIR ini bahang serangan terhadap PAS dengan
menggunakan tuduhan takfiri membahang kembali. Dalangnya Dr Mahathir,
mantan Perdana Menteri yang telah memerintah negara ini selama 22 tahun,
tujuannya jelas supaya rakyat membenci dan mengucilkan PAS di persada
politik tanah air. Mahathir tetap Mahathir, semenjak dekad 80an tidak
kepalang kebenciannya kepada PAS dan pendokong sehingga pelbagai
undang-undang draconian dihalakan kepada PAS. Dr Mahathir di zamannya
telah menggunakan media perdana untuk menyerang PAS melalui isu ini,
pelbagai rekayasa termasuk isu solat dua imam dimainkan oleh media
perdana untuk memburukkan PAS. Isu ini dikitar semula terutama
menyalahkan "Amanat Haji Hadi" dan kelihatan Mahathir tidak lelah untuk
menyerang PAS melalui isu ini.
Apabila PAS dipimpin oleh ulama haraki dalam dekad 80-an, maka
pengajian yang berteraskan ilmu akidah menjadi salah satu paten dalam
majlis ilmu yang dianjurkan oleh PAS, juga institusi seperti masjid dan
surau. Pengajian akidah akan membenihkan ahli yang faham akan konsisten
dengan perjuangan Islam. Namun ada sisi lain yang terserlah apabila
pengajian akidah menggerakkan kesedaran secara besar-besaran tentang
politik berteraskan akidah terutama yang membatalkan syahadah.
Pada tahun-tahun 80-an pula kesan pengajian ini ialah isu takfir di
dalam masyarakat terutama di negeri-negeri yang mempunyai pengaruh PAS
yang kuat seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Fenomena ini juga dikesan pernah berlaku di Mesir pada tahun 70-an
sehingga menimbulkan jamaah Takfir Wal Hijrah yang dipimpin oleh Mustafa
Shukri. Menurut Dato Asri (1993), PAS sendiri tidak pernah mengambil
sebarang ketetapan atau keputusan mana-mana mesyuarat pun, baik di
peringkat cawangan. Badan yang berhak untuk memutuskan dalam hal ini
ialah Dewan Ulamak, sedangkan Dewan Ulamak tidak pernah membuat
keputusan sama ada dengan bertulis atau dengan lisan.
Isu ini juga telah digunakan sebagai senjata politik UMNO untuk
memencilkan PAS daripada masyarakat umum. UMNO mempunyai niat
terselindung untuk menuduh PAS menyebarkan fahaman ini dan di sisi lain
gerakan Islam dituduh sebagai gerakan neo-Khawarij, inilah juga yang
terjadi di Libya, Algeria, Mesir, Yaman dan sebagainya. Khawarij adalah
firqah akidah, pelabelan ini akan memencilkan sesuatu kelompok daripada
masyarakat yang lain.
Di tanah air kita, isu perpecahan akibat takfir dikesan pada tahun
1960-an apabila isu politik diganding dengan isu akidah tetapi ia
tidaklah separah dekad 1980-an, kerana UMNO mempolitikkan isu dengan
semaksimum mungkin bagi mewajahhitamkan PAS. Isu politik dan akidah agak
serius apabila terbitnya kitab "Beberapa Mutiara Yang Bagus Lagi Indah"
karangan Sheikh Abdul Kadir Al-Mandili di Mekah. Beliau adalah tokoh
ulama yang mengajar di Masjidil Haram yang juga merupakan Ketua Cawangan
PAS di Mekah.
Menurut seorang tokoh agama UMNO iaitu Dato' Nakhaie Haji Ahmad
(2002), apabila berlakunya kesedaran di negara ini sekitar tahun 70-an
di mana golongan terpelajar mendapat percikannya, fahaman-fahaman takfir
ini mendapat ilham baru daripada karangan al-Maududi dan Sayyid Qutb.
Meskipun karangan mereka lebih banyak menjelaskan tentang persoalan
prinsip mengenai pemerintahan tetapi penerapan prinsip itu di dalam
menjelaskan isu-isu politik, menimbulkan banyak salah faham sehingga
mengakibatkan berlakunya kegiatan takfir. Pandangan Nakhaie ini juga
dikongsi bersama oleh intelektual proksi UMNO di menara gading dengan
nada dan lirik yang sama.
Kerajaan BN tidak bertindak dengan hujah tetapi menggunakan ISA untuk
berhadapan dengan pimpinan PAS dalam isu ini. Gejala takfir di Besut,
isu ini cuba dibendung oleh kerajaan dengan menangkap pemimpin PAS Besut
seperti Ustaz Mohammad@Stimat Jusoh
dan Ustaz Abdul Latif Mohamad di bawah Enakmen Kediaman Terhad Seksyen 2
(Abdul Latif juga telah meninggalkan PAS semasa krisis Besut dan kini
menyertai PAS kembali). Ustaz Abdul Latif dalam pertemuan peribadi
dengan penulis pada tahun 1994 menegaskan beliau hanya menerangkan
batas-batas iman dan kufur kepada masyarakat bukan mengkafir pengikut
UMNO. Beliau mengajar secara berkitab dan tidak ada ulama UMNO yang
berani menyanggah dengan hujah apa yang disebut dengan nas al-Quran dan
al-Hadis junjungan.
Tuduh-menuduh antara PAS-UMNO, siapa yang mencetuskan fenomena takfir
hampir menyeret keduanya ke meja debat terbuka, untuk rakyat menilai
isu ini dengan terbuka. Pimpinan PAS telah bersedia dengan apa tajuk
sekalipun. Sebelum debat ini dijadualkan berlangsung ada wakil NGO dan
tokoh umat Islam meminta supaya debat itu tidak diadakan, sebaliknya
berunding. Antaranya Profesor Emeritus Tan Sri Ahmad Mohamed Ibrahim
(UIA), wakil ABIM dan sebagainya.
Debat bertajuk "PAS mengkafirkan UMNO" yang dicadangkan pada 11
November 1984 telah disensasikan dan menjadi buah mulut rakyat negara
ini. Namun sebelum berlangsung ianya dibatalkan dengan campur tangan
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Pihak PAS berpandangan
pembatalan debat ini satu bukti yang ampuh UMNO takut berhadapan dengan
PAS dalam isu ini yang dimanipulasi dengan gaya paling hodoh oleh
jentera UMNO untuk masyarakat membenci PAS.
Menurut Tuan Guru Haji Hadi Awang, isu takfir yang dimainkan oleh
UMNO terhadap PAS semakin reda, masyarakat mula menghargai menghargai
ikrar syahadah mereka yang tidak boleh dipermainkan sesuka hati kerana
syahadah boleh terbatal sama ada dengan iktikad, lisan atau perbuatan.
Ucapan menghina Islam dan syariatnya semakin sirna apabila masyarakat
difahamkan dengan ilmu akidah. – HARAKAHDAILY
*Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan