Jumaat, 12 Januari 2018

Mahathir dilarang jumpa Anwar di hospital

DETIK DAILY



DR Mahathir Mohamad tidak dibenarkan melawat Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras petang ini.

Wakil hospital memberitahu pengerusi Pakatan Harapan itu bahawa mereka menerima arahan daripada pihak atasan untuk tidak membenarkan beliau masuk.

Ini sepatutnya menjadi lawatan pertama Dr Mahathir kepada ketua umum PKR itu selepas beliau dipilih untuk menjadi calon perdana menteri PH sekiranya pakatan pembangkang itu menang pada pilihan raya akan datang.

"Saya cuma mahu melawat dan mengucapkan terima kasih kepadanya kerana tidak menolak keputusan melantik saya sebagai calon perdana menteri PH," kata Dr Mahathir.

Larangan ini berlaku selepas Anwar menerima lawatan Perdana Menteri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan seorang menteri Kabinet Nazri Aziz.

Semua lawatan itu berlaku pada November lalu selepas Anwar menjalani pembedahan bagi memulihkan kecederaan yang dialaminya kerana terlibat dalam kemalangan kenderaan Jabatan Penjara yang dinaikinya pada September.

Dr Mahathir bercakap kepada media di pintu masuk wad selepas dilarang masuk.

Beliau tiba pada jam 4.30 petang dan meninggalkan hospital 20 minit kemudian.

Negarawan berusia 93 tahun itu memberitahu media larangan itu menyedihkan beliau.

“Saya sedih kerana negara kita adalah negara demokratik dan perkara sebegini tak pernah berlaku pada zaman (pentadbiran) saya, walaupun orang kata saya ni diktator tetapi tak pernah saya halang sesiapa.

“Tetapi dalam kerajaan yang dipanggil demokratik ini, nak jumpa orang pun tak boleh. Hendak lawat orang sakit pun tak dibenarkan. Inilah situasi negara kita. Kerana itulah pada pandangan saya, semua perlu sokong jatuhkan perdana menteri,” kata Dr Mahathir.

Katanya lagi, berjumpa dan berterima kasih kepada Anwar adalah perkara besar untuknya.

“Dah tentu Anwar ada sejarah panjang bergaduh dengan saya dan bukannya mudah untuk dia terima konsensus yang mencadangkan saya sebagai perdana menteri sekiranya PH menang pilihan raya. Ia perkara besar,” kata Dr Mahathir.

Tambahnya lagi, beliau tidak merancang bercakap perkara lain kerana tiada lagi perkara hendak dibincangkan. Katanya, semua sudah bersetuju yang Najib tidak sesuai menjadi perdana menteri.

“Hakikatnya dia seorang diktator, kerana tindakannya bukan kerana kata-katanya. Saya dikatakan seorang diktator, cakaplah apa sahaja awak mahu tetapi saya tak pernah buat perkara seperti ini (melarang lawatan),” kata Dr Mahathir.
 
Katanya, tiada alasan diberikan kerana halangan itu selain ia adalah arahan orang atasan.

“Maksudnya menteri dalam negeri. Yang saya tak dibenarkan melawat Anwar,” katanya.

Dr Mahathir juga mengatakan beliau boleh menghantar surat rayuan untuk membolehkannnya melawat tetapi harapan ia menjadi kenyataan sangat kecil.

“Apabila kita hantar surat, mereka tak pernah beri jawapan jelas. Kita tahu tahu sama ada mereka lulus atau tak. Dan ia tak akan berhasil,” katanya.

Tiada ulasan: