Clement Chin berkata komennya diambil di luar konteks dan digunakan dengan agenda politik.
PETALING JAYA: Seorang aktivis yang mengundang kemarahan pengguna media sosial kerana komennya tentang Islam berkata komen itu daripada perbincangan tertutup satu kumpulan Facebook bersama orang Islam lain dan diambil di luar konteks.
Clement Chin, yang menganggotai kumpulan alam sekitar Himpunan Hijau yang mengetuai protes terhadap syarikat perlombongan Lynas di Pahang, berkata catatan itu dibuat sebulan lalu.
“Saya sangat terkejut dengan perbuatan mereka. Saya sama sekali tak jangka ini akan berlaku. Bagi saya, ia perbincangan terbuka dalam kalangan ahli kumpulan itu dan kami semua berkongsi pemikiran kita tentang pandangan yang berbeza mengenai agama,” kata Chin kepada FMT.
“Perkara biasa dalam perbincangan ialah anda nyatakan pandangan anda dan tidak semua orang akan bersetuju dengan pandangan anda.”
Chin berkata kandungan perbincangan itu diambil di luar konteks, dan dikongsi dengan meluas di media sosial.
Beliau mempersoalkan sama ada penyebaran kandungan perbincangan itu mempunyai agenda tersembunyi.
“Saya tak tahu mengapa mereka buat begitu, masuk ke laman Facebook saya dan memilih-milih tangkap layar untuk menyerang saya.
“Bagi saya, apa yang dibincangkan dalam kumpulan itu tidak perlu dikeluarkan. Kami semua orang dewasa yang matang, dan hanya berkongsi pandangan berdasarkan sejarah dan memetik ahli teologi,” katanya.
Chin antara lain memuatnaik komen menyentuh asal usul Al-Quran, serta sejarah awal Islam.
Beberapa laman berita kemudian melaporkan komen itu, dan sebuah portal mengaitkan beliau dengan Bersih 2.0 dan Pakatan Harapan.
“Saya bukan ahli mana-mana parti politik,” kata Chin.
Sementara itu, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata Chin bukan anggota jawatankuasa pemandu kumpulan itu, dan menambah beliau tidak lagi kelihatan menyertai aktiviti mereka.
Maria juga mempersoalkan niat beberapa laman berita apabila mengaitkan komen Chin kepada Bersih 2.0.
“Mengaitkan dia dengan Bersih adalah perbuatan tidak baik,” tambahnya.
“Kami hanya memperjuangkan pilihan raya bersih dan adil, dan kita tidak mengeluarkan kenyataan yang bercakap tentang kaum atau agama.
Maria sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap sebuah kumpulan Islam kerana mengaitkan Bersih dengan laporan tentang Chin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan