Rabu, 10 Januari 2018

Isu Kerusi: PAN Akui Agenda Reformasi ‘Terencat’




MYNEWSHUB

 

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa mengakui kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) millik Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Pakatan Harapan telah ‘menangguhkan’ agenda reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau malah mengakui usaha PKR, PAN dan DAP yang kononnya mahu bawa Melayu menjadi Melayu yang lebih progresif inklusif ‘terencat’ dengan pembahagian kerusi kawasan Parlimen seperti yang diumumkan oleh Mahathir kelmarin.

Dakwa beliau, agenda reformasi Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini adalah membawa negara ini ke arah Malaysia yang tidak dicam oleh etnik atau kaum termasuk Melayu.

“Kesanggupan PPBM menyertai Pakatan Harapan ada kelebihan dan kekurangan jika dinilai daripada reformasi yang ditegakkan oleh Anwar. Bonus penyertaan PPBM ialah faktor undi Melayu.

“Faktor ‘kekurangan ialah kehadiran PPBM dari kerangka perjuangan reformasi ‘menangguhkan’ sedikit usaha besar reformasi iaitu membawa negara ini ke arah Malaysia yang tidak dicam oleh etnik atau kaum,” katanya dalam satu kenyataan media.

PPBM merupakan parti baru yang ditubuhkan oleh Mahathir untuk menyertai Pakatan Harapan bagi melunaskan dendamnya ke atas UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana kepentingan peribadinya tidak dipenuhi.

Mahathir kemudian diumumkan sebagai calon Perdana Menteri pembangkang oleh sebahagian besar pucuk pimpinan Pakatan Harapan, namun ia dibantah kebanyakan ahli dan penyokong PKR dan PAN.

Mujahid berkata, Anwar sering mengungkapkan dalam bahasa Mandarin ‘wo men she i chia ren’ bermakna ‘kita semua adalah satu keluarga’ yang mengandungi pemikiran reformasi psiki politik iaitu Malaysia tanpa dicam oleh mana-mana kaum.

Bagaimanapun, kata beliau, kehadiran PPBM menjadikan kelompok DAP, PAN dan PKR sedikit ‘tersentak’ dengan realiti bahawa mereka terpaksa menyesuaikan agenda reformasi dengan psiki Melayu ala UMNO dalam PPBM.

Namun, beliau mendakwa kekurangan itu tidak merugikan secara praktikal kerana idealisme reformasi termasuk psiki politik Malaysia yang pekat politik identitinya iaitu berasaskan kaum.

“PPBM pula perlu menerima hakikat bahawa masa depan politik yang mesti diperjuangkan ialah Malaysia tanpa perkauman dan ‘politik identiti’ mesti dihentikan.

“Tidak ada guna sekadar PPBM ganti UMNO tetapi mengekalkan doktrinasi perkauman UMNO tanpa satu reformasi umat Melayu sendiri yang perlu keluar dari kepompong ‘mentaliti terperangkap’ kepada mentaliti bersaing secara sihat,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: