KOTA BHARU: Suami kepada suri rumah yang koma selepas diragut dua
beradik di Kampung Sri Rabana, Machang kelmarin, mahu pelaku jenayah itu
dikenakan hukuman setimpal.
Mohd Zairie Mohamad Zain, 48, berkata dia mahukan keadilan sepenuhnya
bagi mengheret penjenayah terbabit ke muka pengadilan kerana
mengakibatkan isterinya, Maria Erianty Zakaria, 40, cedera parah di
kepala.
Katanya, Maria Erianty masih koma walaupun sudah menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku di kepala, semalam.
Kakitangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang itu, berkata
tindakan suspek menendang motosikal ditunggang isterinya adalah melampau
kerana turut menyebabkan mangsa retak bahu kiri selepas terjatuh.
"Isteri sudah stabil dan doktor nasihat supaya dia diberikan masa untuk
berehat selain terus dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia
(HUSM).
"Cuma keempat-empat anak kami berusia 10 hingga 21 tahun sedih dan
sering bertanya keadaan ibu mereka yang masih terlantar dan tidak
sedarkan diri," katanya dipetik Berita Harian Online.
Mohd Zairie bersyukur kerana dua penjenayah terbabit sudah ditangkap hasil bantuan penduduk kampung.
"Cuma saya mengharapkan isteri cepat sembuh. Saya dan anak rindu untuk mendengar suaranya," katanya.
Mohd Zairie berkata, selain tidak sedarkan diri, suhu badan isterinya naik dan tekanan darah tidak stabil.
"Walaupun keadaannya teruk, saya bangga dengan keberanian isteri
mengejar suspek selepas diragut. Jika wanita lain, saya percaya mereka
pasti panik dan kaku jika terbabit dalam kejadian seperti itu," katanya.
Dalam kejadian jam 6.30 petang kelmarin, Maria Erianty yang dalam
perjalanan pulang dari aktiviti senamrobik, parah di kepala dan patah
tangan kiri selepas terjatuh dari motosikalnya dalam kejadian ragut.
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani,
berkata dua beradik berusia 26 tahun dan 14 tahun yang meragut mangsa,
ditahan sejurus kemudian dan didapati positif methamphetamine.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan