ALOR SETAR: Tindakan seorang remaja lelaki yang mahu mengusik
kanak-kanak yang pulang daripada mengaji Al-Quran dengan berpakaian
menyerupai “hantu pocong” membawa padah apabila ditahan polis di pekan
Bukit Pinang malam Jumaat lalu.
Mohd Imran Mohammad, 16 berkata, dia bersama 3 rakannya ditahan
kira-kira pukul 10.00 malam Jumaat selepas mereka terserempak dengan
seorang anggota polis yang sedang melakukan rondaan di kawasan itu.
Menurut Mohd Imran, dia dan rakannya hanya berniat untuk mengusik
kanak-kanak berkenaan dan beberapa rakan mereka yang sedang melepak di
Taman Pinang Jaya di Bukit Pinang.
Video penahanan 4 remaja terbabit dengan seorang daripada mereka yang
menyerupai pocong itu tular di laman sosial Facebook sejak Sabtu lalu
hingga mencuit hati pengguna Facebook.
Ia berdurasi 30 saat yang menunjukkan Mohd Imran membalut tubuh dengan
kain selimut berwarna kelabu dan melompat seperti pocong.
Katanya, sebelum itu, 3 rakannya membalut tubuhnya dengan menggunakan
kain selimut dan mengikat pada bahagian kepala sebelum keluar membonceng
motosikal yang ditunggangi seorang rakan dan 2 lagi rakannya menunggang
sebuah lagi motosikal.
“Hasrat kami tak kesampaian apabila tidak sampai 15 minit membonceng,
kami terserempak dengan seorang anggota polis bermotosikal yang nampak
terkejut dengan kelibat pocong sebelum bertindak menahan kami.
“Saya yang menyerupai pocong diminta melompat-lompat seperti pocong
sambil disaksikan orang ramai yang berhenti untuk melihat,” katanya
kepada pemberita selepas ditemui di rumah bapa saudaranya di Kampung
Padang Kunyit, Bukit Pinang hari ini
Berikutan itu, beliau dan 3 rakannya itu dibawa ke Balai Polis Kepala
Batas sebelum ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
“Kami diberi nasihat supaya tidak lagi melakukan perbuatan seperti itu
lagi kerana ia boleh mengakibatkan kejadian lebih buruk seperti
kemalangan jalan raya dan menyebabkan orang terkejut dan diserang sakit
jantung,” katanya yang turut menyatakan kekesalannya dengan perbuatan
itu dan berjanji tidak akan mengulanginya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin
berkata, siasatan mendapati ia merupakan perbuatan nakal remaja terbabit
dan tidak mempunyai niat jenayah lain seperti mencuri atau melibatkan
kehilangan harta benda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan