Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Sikap ketidakpuasan hati dalam kalangan pemimpin dan ahli
Pakatan Harapan (PH) bakal mengundang padah kepada gabungan pembangkang
pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, kata seorang penganalisis
politik.
Prof Madya Dr. Ahmad Martadha Mohamed menjangkakan, konflik itu mampu
menjejaskan sokongan rakyat apabila melihat mereka tidak berkemampuan
untuk bersatu dalam menyatakan perdirian terhadap jawatan terpenting
negara itu.
"Dalam isu meletakkan Tun Mahathir sebagai calon perdana menteri
sebenarnya tidak mendapat persetujuan ramai pihak dalam Pakatan Harapan
dan sebab itu kita lihat beberapa pemimpin daripada PKR dan Amanah juga
tidak bersetuju dengan Tun Mahathir sebagai calon perdana menteri.
"Ini akan memberi kesan terutamanya dalam sokongan pengundi pada PRU14
nanti kerana masyarakat akan melihat bahawa isu yang penting sebegini
sekiranya masih tiada persetujuan maka sudah pasti ia akan menjejaskan
kekuatan, imej PH di mata pengundi," katanya kepada Antarapos.
Ahad lalu, gabungan pembangkang itu sepakat untuk mengumumkan Dr
Mahathir sebagai calon perdana menteri sementara bagi parti itu
sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14) yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Dr Mahathir selepas itu bakal digantikan dengan calon utamanya, Datuk
Seri Anwar Ibrahim apabia dibebaskan daripada penjara dan mendapat
pengampunan Yang Di-Pertuan Agong.
Manakala, presiden parti itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula sekadar dilantik sebagai timbalan perdana menteri.
Bagaimanapun, keputusan itu mengundang banyak rasa kurang senang dalam
kalangan ahli parti termasuk daripada 'parti senior' itu sendiri iaitu
PKR.
Terdahulu, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin meluahkan rasa kecewa
dengan pemilihan tersebut dengan menganggap PH masih gagal menamakan
calon perdana menteri walaupun selepas berjuang selama 20 tahun.
Lebih hangat apabila PKR Selangor pula membantah keputusan itu dengan
menegaskan individu yang layak memegang jawatan itu perlu datangnya dari
PKR.
Terbaru, anak-beranak mendiang Karpal Singh (DAP) pula dikatakan
mempunyai pandangan yang berbeza, apabila anak perempuannya, Sangeet
Kaur Deo tidak bersetuju dengan perkara itu malah berpendapat ayahnya
juga mungkin tidak menyokong perkara tersebut sekiranya beliau masih
hidup.
Pandangan Sangeet itu turut disokong oleh abangnya, Ramkarpal Singh.
Lebih mengejutkan, selain dua parti itu, terdapat ahli PPBM iaitu parti
yang dipengerusikan Dr Mahathir itu sendiri juga turut membantah
pencalonan pemimpin itu sebagai perdana menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan