Ahad, 14 Januari 2018

Anak Orang Utan sedang dirawat, tidak dianiaya

Wartawan MalaysiaGazette
Rakaman gambar yang menunjukkan anak Orang Utan ditempatkan dalam sangkar yang kecil. blog CleanMalaysia.

KUALA LUMPUR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berkata, anak Orang Utan yang didakwa dianiaya di Zoo Kemaman sebenarnya dipisahkan sementara dengan ibunya.

Ia kerana, ibu Orang Utan dan anak haiwan itu sedang menjalani proses rawatan pada bulan November 2017.

“Siasatan juga mendapati bahawa anak Orang Utan berkenaan telah ditempatkan dalam sangkar kurungan yang besar dan peralatan serta persekitaran untuk senaman seperti tayar dan tali disediakan.

“Sehingga kini, rawatan susulan masih dijalankan terhadap Orang Utan tersebut,” kata Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dalam kenyataan di sini.

Beliau mengulas aduan sebuah NGO yang mahu penganiayaan ke atas haiwan-haiwan di Zoo Kemaman diakhiri segera di blog Clean Malaysia.

Artikel berkenaan menyentuh aspek penjagaan hidupan liar di Zoo Kemaman, Terengganu dan juga mengenai kematian hidupan liar yang juga berlaku di zoo berkenaan.

Dalam artikel itu, NGO berkenaan mendakwa anak Orang Utan ditempatkan dalam sangkar yang kecil, anak gajah dirantai dan harimau ditempatkan di tempat kurungan yang kecil dan tidak memuaskan.

Perhilitan yang mengadakan siasatan pada 11 Januari lalu mendapati gajah tersebut merupakan gajah dewasa dan berada dalam keadaan sihat dan normal. Ia ditempatkan sementara di kurungan lama sehingga kerja-kerja penambahbaikan di kurungan baru selesai.
Keadaan gajah yang didakwa kurus dan stres. foto CleanMalaysia
Gajah tersebut dirantai bagi memastikan ia tidak merayau keluar dari kawasan kurungan atau mendatangkan bahaya kepada pelawat dan kakitangan zoo.

Manakala gambar harimau yang dipaparkan dalam artikel berkenaan merupakan harimau yang ditempatkan dalam kawasan kurungan malam dan saiz kurungan berkenaan mematuhi peraturan yang berkuatkuasa.

Berhubung kematian hidupan liar lain di Zoo Kemaman melibatkan tapir, beruang dan ungka, Perhilitan berkata, pada tahun 2016, terdapat satu ekor tapir telah mati dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat masalah pernafasan.

Tiada kematian melibatkan beruang dan ungka direkodkan.

Beruang matahari tersebut telah ditempatkan di kurungan baru sejak Oktober 2017 manakala ungka ditempatkan di Pulau Ungka dan masih hidup.

Abdul Kadir berkata, Perhilitan amat serius dalam isu berkaitan kebajikan hidupan liar dan tidak akan berkompromi dengan zoo yang tidak mematuhi perundangan berkaitan.

Tindakan tegas akan diambil terhadap pengendali zoo yang gagal mematuhi peraturan. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: