PUTRAJAYA: ADUN Sri Muda, Mat Shuhaimi Shafiei akan dibicarakan di
Mahkamah Sesyen pada 10 Januari ini atas tuduhan memuat naik artikel
berbaur hasutan dalam blognya.
Keputusan sebulat suara itu dibuat Mahkamah Persekutuan oleh panel lima
hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop ketika
membenarkan rayuan akhir Kerajaan Malaysia.
Kes itu ditetapkan untuk sebutan lusa.
Kuorum itu mencapai keputusan tersebut ketika menentukan dua persoalan
undang-undang yang dikemukakan oleh pihak kerajaan sewaktu merayu
keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Seksyen 3(3) Akta Hasutan
1948, melanggar Perlembagaan.
Seksyen 3(3) akta tersebut menyatakan, niat tidak relevan untuk
dibuktikan oleh pihak pendakwaan bagi mensabitkan kes hasutan asalkan
wujud kecenderungan menghasut.
Oleh yang demikian, pertuduhan terhadap Mat Shuhaimi, 49, kerana memuat
naik artikel berbaur hasutan dalam blognya, Srimuda.blogspot.com, masih
mempunyai kesan dan sah di sisi undang-undang.
Kuorum berkenaan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 23
Februari 2015 yang menolak saman pemula wakil rakyat pembangkang
tersebut.
Pada 7 Februari 2011, Mat Shuhaimi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah
Alam atas pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(c) kerana memuat naik artikel
berhubung pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha
Kerajaan Negeri Selangor yang baru.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Khidmat Rakyat, Jalan
Anggerik Vanilla, Kota Kemuning di Shah Alam pada 30 Disember 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan