Selasa, 23 Januari 2018

41 ibu bapa gagal jadi pihak dalam kes ‘bin Abdullah’

 
Ketua hakim negara membenarkan 41 ibu bapa itu menjadi rakan mahkamah dalam semakan kehakiman itu.


Raus-Sharif-court-gavel

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan 20 pasangan dan seorang ibu tunggal menjadi pencelah dalam rayuan kes bagi menentukan sama ada anak luar nikah boleh dibinkan nama bapa kandung, bukannya “Abdullah”.

Bagaimanapun, panel 5 hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif membenarkan mereka menjadi rakan mahkamah (amicus curiae) bagi membantu pihak dalam rayuan itu yang akan berlangsung 7 Februari ini.

Raus berkata, rayuan itu dibuat menerusi semakan kehakiman dan tidak adil pemohon dijadikan pencelah.

“Ada pelbagai langkah untuk diikuti. Jika kita membenarkannya, ia seperti mengelakkan prosedur,” katanya.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ketua pengarahnya dan kerajaan, tidak diminta mengemukakan penghujahannya.

Peguam, Azahar Azizan Harun yang mewakili pemohon memberitahu pemberita, beliau akan tampil sebagai rakan mahkamah.

Pencelah tampil sebagai pihak kepada rayuan itu dan boleh mengemukakan penghujahan berdasarkan haknya. Mereka yang berstatus “rakan mahkamah” hanya mempunyai kelebihan memberi pendapat di mahkamah atas jemputan panel hakim.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini membenarkan Majlis Agama Islam Johor menjadi pencelah memandangkan ibu bapa dalam rayuan itu berasal dari negeri berkenaan.

Majlis agama Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan hanya dibenar menjalankan arahan memerhati.

Shamsul berkata, mereka memfailkan pematahan untuk membantah permohonan pasangan berkenaan dan ibu tunggal itu.

“Pendirian kami adalah mereka bukan pihak terjejas dengan keputusan JPN atau ketua pengarahnya,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, pasangan dan ibu tunggal itu belum membuat permohonan kepada JPN untuk mengubah nama anak daripada Abdullah kepada nama bapa kandung mereka.

Pemohon dari Johor, Melaka, Selangor, Perlis dan Pahang itu memfailkan dokumen undang-undang pada 14 Disember lalu, tetapi identiti mereka tidak boleh didedahkan disebabkan sensitiviti isu itu.

Peguam, Lokman Hakim yang membantu Azahar berkata, pemohon mahu turut serta dalam kes itu memandangkan keputusannya akan menjejaskan anak mereka.

Katanya, menurut fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 2003, anak luar nikah (tak sah taraf) tidak boleh dinasabkan kepada bapanya atau orang yang mengaku bapa kepada anak itu.

Katanya, memandangkan Islam adalah hal ehwal negeri, Perlis tidak menerima pakai fatwa itu sejak 2011.

Lokman berkata, walaupun mazhab Syafie menjadi mazhab rasmi di Malaysia, tetapi ia tidak dipatuhi dengan ketat.

“Di beberapa negara Islam Arab yang mengikuti mazhab Syafie, anak tidak sah taraf boleh menggunakan nama bapa kandung.”

Lokman hari ini berkata, 2 daripada ibu bapa dari Perlis mendekati JPN untuk menukar nama anak mereka, tetapi ditolak kerana rayuan di Mahkamah Persekutuan belum selesai.

“Permohonan mereka disokong sijil kelulusan dari Mahkamah Syariah Perlis, tetapi ia tidak diterima,” katanya.

Salah satu persoalan yang akan ditentukan Mahkamah Persekutuan adalah sama ada Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) diguna pakai pada pendaftaran kelahiran kanak-kanak Islam yang membolehkan mereka dinamakan mengikut nama individu yang memperakui dirinya sebagai bapa.

Kerajaan persekutuan merayu keputusan Mahkamah Rayuan ke atas pasangan itu dan anak leaki mereka, yang mahu JPN dan ketua pengarahnya menggantikan “bin Abdullah” dengan nama bapanya dalam sijil kelahiran.

Dalam satu penghakiman bertulis pada 25 Julai 2017, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli berkata ketua pengarah JPN tidak terikat kepada fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa seorang kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf.

Mahkamah itu berkata, bidang kuasa ketua pengarah JPN bersifat sivil dan terhad dalam menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak itu memenuhi syarat di bawah BDRA, yang merangkumi semua kanak-kanak tidak sah taraf, tidak kira Islam atau bukan Islam.

Mahkamah itu memutuskan fatwa bukan perkara wajib diterima undang-undang dan tidak boleh dijadikan asas undang-undang oleh ketua pengarah JPN dalam menentukan nama bapa seseorang anak yang tidak sah taraf mengikut Seksyen 13A (2) BDRA.

Tiada ulasan: