Khamis, 18 Mei 2017

Seniman tak ambil tindakan, anggap isu Mat Over-David Teo selesai

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap  pengarah filem, Datuk David Teo dan pelawak Sulaiman Yassin, kerana menganggap insiden membabitkan dua individu itu sudah selesai.
 
Presidennya, Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi berkata, pihaknya sudah mengambil langkah pantas sejurus kekecohan berlaku pada 'Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Perdana Menteri: Segmen Penggiat Seni', malam tadi.
      
"Kita Persatuan Seniman, anggap isu ini sudah selesai sebab apa yang kita lakukan semalam apabila berlakunya kejadian itu, kita sudah menyelesaikan dengan kedua-dua artis ini secara berhemah dan profesional.
 
"Dan mereka bersetuju bersalaman di depan Perdana Menteri kerana perkara itu berlaku depan Perdana Menteri, dan Perdana Menteri pun maafkan mereka, jadi perkara ini sudah selesai," katanya kepada Antarapos.
 
Zed Zaidi dalam pada itu juga menyeru semua pihak untuk tidak memperbesarkan isu berkenaan atau cuba 'menangguk di air keruh'. 
 
Namun ujarnya, sekiranya terdapat mana-mana pihak atau individu yang mahu mengambil tindakan susulan, ia terpulang kepada pendirian organisasi atau persatuan masing-masing.
 
Menurut beliau, apa yang penting adalah kedua-dua indivudu berkenaan sudah pun berdamai, dan semua pihak wajar mengambil pengajaran atau iktibar daripada insiden tersebut. 
 
"Bagi saya apabila kita di rumah orang atau di program, kita perlu hormat, itu yang perlu kita tekankan. 
 
"Semalam, ramai yang nak bertanya dan itu jadi isu sebab masa tidak panjang. Selepas ini, siapa yang hadiri majlis (diminta) agar hormati majlis dan memahami masalah penganjur misalnya di mana kita tahu ia di luar bidang kuasa kita," katanya lagi. 
 
Sementara itu, Presiden Yayasan Artis 1Malaysia, Datuk DJ Dave juga menyeru semua pihak agar tidak memperbesarkan isu tersebut memandangkan kedua-dua individu berkenaan sudah memohon maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
 
"Dua-dua buat salah dan sudah pun memohon maaf, ini terjadi secara spontan. YAB Perdana Menteri juga sudah terima permohonan maaf mereka. Jadi jangan keruhkan lagi keadaan, beri mereka peluang," katanya.
 
Dalam pada itu beliau turut menasihatkan golongan artis atau penggiat seni agar mengambil iktibar daripada insiden tersebut.
 
"Kita artis ini kecil saja, jadi kita perlu bersatu. Lain kali kena berhati-hati dan menjaga situasi," kata  beliau.
 
Dialog TN50 Perdana Menteri: Segmen Penggiat Seni malam tadi kecoh seketika apabila pelawak Sulaiman Yassin atau Mat Over, menampar Teo di depan perdana menteri.
 
Insiden bermula apabila Teo mempertikaikan cara moderator, Datuk Rosyam Noor mengendalikan sesi berkenaan kerana didakwa tidak melihat ke belakang dalam memilih penggiat seni untuk menyuarakan pandangan.
 
Belum sempat Teo memberi pandangan dan menghabiskan pantun, Mat Over meluru ke arah pentas utama dan secara tiba-tiba menampar Teo, kerana bersikap 'kurang ajar' di hadapan Najib.
 
Bagaimanapun insiden kekecohan itu berakhir selepas kedua-duanya bersalaman serta berpelukan sambil disaksikan Najib. 
 
 

Tiada ulasan: