Ahad, 18 Disember 2016

Warga emas mangsa kelapan dijangkiti virus Zika

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas menjadi mangsa kelapan dijangkiti virus Zika di negara ini.
 
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa berusia 67 tahun dari Petaling Jaya itu dikesan dijangkiti Zika selepas mengalami gejala demam, loya serta cirit-birit. 
 
Katanya, lelaki terbabit mendapatkan rawatan perubatan di Klinik Kesihatan Tangling, Kuala Lumpur pada 30 November, selepas mula mengalami gelaja berkenaan dua hari sebelumnya.
 
Kata Dr Noor Hisham, ujian saringan darah tidak menunjukkan kelainan yang ketara, justeru pesakit diberi rawatan simptomatik dan dinasihat datang semula jika gejala semakin melarat.
 
"Keesokan harinya (1 Disember 2016), pesakit kembali dengan gejala bisa badan dan sendi. Denggi telah disyaki namun ujian denggi yang dilakukan adalah negatif.
 
"Kes itu dilaporkan ke Pejabat Kesihatan Petaling sebagai disyaki denggi dan pesakit diminta kembali setiap hari bagi memantau ujian darah," katanya menerusi satu kenyataan. 
 
Walaupun pesakit menunjukkan gejala denggi, kata Dr Noor Hisham, ujian untuk itu adalah negatif.
 
Katanya, contoh darah diambil dan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di Sungai Buloh untuk ujian flavivirus lain selaras dengan protokol sedia ada.
 
Ujian flavivirus itu adalah untuk mengesan kemungkinan lelaki terbabit menghadapi demam kuning, chikungunya atau Zika.
 
Pada 9 Disember, katanya, MKAK memaklumkan mereka mendapati darah itu positif untuk Zika dan sampel dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi pengesahan.
 
Turut dihantar, menurut Dr Noor Hisham, ialah contoh tambahan air kencing.
 
"Pada 14 Disember, IMR mengesahkan sampel air kencing juga positif untuk Zika," katanya.
 
Kes pertama Zika di negara ini dilaporkan pada 21 Ogos lalu, membabitkan seorang wanita berusia 58 tahun yang disahkan selepas seminggu pulang dari Singapura.
 
Jangkitan pertama Zika di negara ini pula dilaporkan di Sabah pada September lalu dan mangsa meninggal dunia akibat komplikasi masalah jantung.
 
Dr Noor Hisham berkata siasatan kementerian mendapati mangsa terbaru Zika itu pernah berada di sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam dan Perak.
 
"Ahli keluarga terdekat pesakit telah disiasat dan sampel darah serta air kencing mereka diambil untuk ujian saringan Zika.
 
"Aktiviti kawalan juga dilaksanakan pada 11 Disember 2016 yang melibatkan pemusnahan tempat pembiakan, larvasiding, pendidikan kesihatan dan semburan kabus di lokaliti kediaman dan tempat-tempat lain yang pernah dilawati pesakit.
 
"Selain itu, Active Case Detection sedang dijalankan di kawasan kediaman kes untuk mengenal pasti sekiranya ada penduduk setempat yang mengalami gejala Zika," katanya.
 
 

Tiada ulasan: