Oleh Haizal Yatiran
SHAH ALAM: Kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin pembangkang kebelakangan
ini menunjukkan gabungan yang mahu menjatuhkan Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak itu berada di penghujung hayat mereka.
Menurut penganalisis politik, Datuk Dr Aidit Ghazali, ia ditunjukkan
menerusi perkembangan mutakhir ini yang memperlihatkan 'perselisihan' di
kalangan pembangkang semakin parah meskipun masyarakat umum tidak
menyedari perkara tersebut.
Katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini, keadaan tersebut akan lebih jelas kelihatan selepas PRU yang akan datang.
"Sekarang ini ia ibarat telur di hujung tanduk. Sebabnya, perpecahan
di kalangan mereka itu sebenarnya tidak disedari oleh masyarakat,
sebenarnya ianya bersifat begitu ketara sekali.
"Ada puak-puak tertentu cuba ambil alih kepimpinan dalam parti tertentu
di kalangan Pakatan, sudah berlaku kononnya mereka bersetuju menjelang
PRU14, tapi tunggulah nanti bila hajat masing-masing sudah tercapai,
akan berlaku kerosakan yang lebih besar di kalangan mereka," katanya.
Tambah Aidit, bibit-bibit perpecahan yang paling jelas kelihatan dalam
Pakatan Harapan (PH) pada ketika ini apabila wujud syak-wasangka di
kalangan mereka sesama sendiri.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan saranan Naib
Presiden PKR, Tian Chua supaya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)
merujuk kepada PAS bagi mendapatkan kerusi untuk bertanding pada PRU
ke-14.
"Mereka (PH) berada dalam keadaan yang penuh terdesak. Sangat terdesak.
"Jadi, saya tak hairan jika Tian Chua kata begitu ataupun mana-mana
tokoh seperti itu bahawa mereka ada satu gagasan yang boleh menandingai
Barisan Nasional.
"Di kalangan pihak pakatan (PH) ini, mereka ini sebenarnya mempunyai
dilema khuatir kesatuan di kalangan mereka itu tidak mantap.
"Justeru masing-masing memikirkan bagaimana apabila PAS sudah
menunjukkan mereka berputus arang dengan DAP bagaimana untuk membuat
kawalan kerosakan," tambah Aidit.
Tian Chua sebelum ini menyarankan supaya PPBM meyakinkan PAS agar
memberi laluan kepada mereka untuk bertanding memandangkan mereka adalah
parti berasaskan Melayu, dan kebanyakan kerusi Melayu tersebut adalah
milik tradisi PAS.
Tian yang dipetik laporan akhbar berbahasa Ingggeris berkata, Pakatan
Harapan (PH) tidak akan memberikan kerusi kepada PPBM walaupun mereka
menandatangani perjanjian politik baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Aidit berkata, kenyataan Tian Chua tersebut
menunjukkan bahawa PKR berada dalam keadaan yang sangat terdesak dan
ketakutan menjelang PRU akan datang.
"PKR sekarang berada dalam ketakutan. Sedangkan kawasan Parlimen
Permatang Pauh pun PAS sedang pertimbangkan untuk bertanding di situ.
"Ini bukan soal tamak, ini satu keadaan yang terdesak yang amat sangat.
Tetapi, sebagai ahli politik, tentu sekali apabila mereka keluarkan
kenyataan, mereka tidak mahu tunjuk kelemahan mereka, jadi mereka akan
letakkan tanggungjawab dan beban kepada pihak lain," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan