KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
menganalisis 8,000 baucar dan fail seberat 12 tan dalam siasatan
berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan membabitkan Jabatan Air
Negeri Sabah (JANS).
Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki
siasatan kini memasuki fasa terakhir dan dijangka siap dalam masa
terdekat sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada Jabatan Peguam
Negara.
SPRM mengambil tempoh sebulan untuk menganalisis baucar-baucar pembayaran mulai 2008 hingga 2016.
"Baucar-baucar itu diekstrak daripada fail-fail yang mengandungi
puluhan ribu dokumen melibatkan dokumen tuntutan pembayaran keseluruhan
jabatan-jabatan kerajaan negeri Sabah.
"Dianggarkan keseluruhan berat fail-fail yang dianalisis dan disemak
tersebut mencecah sehingga 12 tan," katanya dalam satu kenyataan pada
Khamis.
Azam berkata proses siasatan tersebut dilakukan secara teliti dan
mendalam bagi melihat pelbagai aspek perundangan dengan penglibatan 137
pegawai SPRM dari Ibu Pejabat, bahagian serta negeri-negeri lain.
SPRM, katanya, amat serius dalam penyiasatan isu rasuah khususnya yang
melibatkan kepentingan rakyat namun memerlukan masa yang mencukupi bagi
memastikan semua bukti dapat dikumpul agar tidak wujud sebarang masalah
ketika prosiding di mahkamah.
Beliau berkata SPRM mendapat perintah reman ke atas 28 individu
melibatkan seorang bekas pengarah, dua bekas timbalan pengarah, 23
jurutera dan juruteknik serta dua orang awam yang mempunyai kaitan
dengan kes terbabit.
SPRM juga telah merakamkan percakapan lebih 200 saksi bagi membantu siasatan yang dijalankan sejak 4 Oktober lalu.
Sepanjang tempoh operasi, SPRM turut merampas, menyita serta membekukan
harta bernilai kira-kira RM114.5 juta terdiri daripada wang tunai,
akaun bank, amanah saham serta aset-aset alih dan tidak alih dalam dan
luar negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan