Rabu, 21 Disember 2016

'Siapa kata kita tak siasat Mahathir?'

Zikri Kamarulzaman

 
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed menafikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terlepas daripada siasatan di bawah kanun keseksaan kerana cubaan memudaratkan demokrasi berparlimen.

"Siapa kata kita tidak siasat Mahathir di bawah Seksyen 124C?"

"Sama ada kita mahu bawa itu ke peringkat seterusnya adalah satu perkara yang berbeza," katanya, tanpa mengulas lanjut.

Beliau berkata demikian ketika ditanya Malaysiakini mengenai siasatan terhadap Mahathir, sedangkan beberapa individu dan organisasi disiasat di bawah undang-undang sama.

Antara mereka yang sedang disiasat di bawah Seksyen 124C adalah BERSIH dan pengerusinya, Maria Chin Abdullah, Majlis Peguam, Lawyers for Liberty, dan Malaysiakini. 

Ini berikutan dakwaan bahawa kumpulan-kumpulan ini menerima pembiayaan asing termasuk daripada Open Society Foundations yang dikaitkan dengan George Soros.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, siasatan akan dilakukan bagi memastikan sama ada kumpulan tersebut dibiayai untuk menjatuhkan kerajaan.

Sehingga Jun tahun ini, polis menyiasat lapan kes berkaitan Mahathir. Ini termasuk siasatan jenayah fitnah selepas bekas perdana menteri itu mendakwa Yang di-Pertuan Agong diletakkan di bawah tahanan rumah.

Sementara itu, Nur Jazlan berkata kira-kira 20 NGO sedang disiasat kerana menerima dana asing.

Sehubungan itu, lapan kumpulan hak asasi manusia termasuk Persatuan Pergerakan Wanita (Awam), Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (HAKAM) mengeluarkan satu kenyataan bersama menyatakan dana luar diperlukan kerana kurangnya sokongan kerajaan.

Nur Jazlan bagaimanapun mengulangi jawapan beliau sebelum ini bahawa tidak ada apa yang perlu dibimbangkan jika kumpulan itu tidak membuat kesalahan.

Beliau memberi contoh siasatan ke atas Malaysiakini, yang secara terbuka mengaku menerima dana daripada OSF.

"Kerajaan tidak hentikan Malaysiakini daripada beroperasi," katanya.


Tiada ulasan: