Selasa, 20 Disember 2016

Ketua BNBBC persenda strategi calon pembangkang

MALAYSIAKINI



Seorang ahli parlimen Umno tertanya-tanya mengenai keberkesanan strategi pilihan raya pembangkang apabila ia diumumkan lebih awal sebelum pertandingan.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad, berkata demikian ketika mengulas kenyataan seorang pemimpin PKR Johor semalam yang mendedahkan rancangan Pakatan Harapan di Johor yang dianggap kubu kuat BN.

Shahrir berkata, Umno dan BN mempunyai strategi sendiri, tetapi memilih untuk bekerja secara senyap.
“Sepatutnya strategi ini rahsia, ada elemen kejutan, kita rancang.

“Tapi mereka ini uar-uarkan di surat khabar, buat kenyataan. Ini strategi apa pun saya tak tahu.

“Kita kerja senyap-senyap. Tak banyak cakap. Kita bekerja, menyusun (strategi). Takkan kita nak cakap strategi, patut kita simpan. Kita laksanakan diam-diam,” katanya yang dipetik oleh portal BNBBC.

Pada hujung minggu lalu, Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tsee berkata Pakatan Harapan akan meletakkan calon berprofil tinggi untuk kerusi parlimen manakala pemimpin tempatan yang aktif pula akan bertanding untuk kerusi DUN.

Strategi basi

Beliau juga dilaporkan sebagai berkata bahawa Pakatan Harapan telah mengenal pasti tujuh kawasan parlimen sebagai sasaran utama iaitu Pasir Gudang, Labis, Tebrau, Segamat, Ledang, Pulai dan Muar.

Menurut Puah, Pakatan Harapan sudah menghantar senarai calon yang bakal bertanding pada PRU akan datang dan sedang menunggu keputusan daripada Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat.

Bagaimanapun, Shahrir tidak kagum dan mendakwa ia adalah taktik basi serta mengalu-alukan sesiapa yang ingin bertanding di negeri itu.

Ahli Parlimen Johor Baru itu berkata, Umno dan BN yakin dengan pilihan rakyat yang lebih arif menilai berdasarkan ‘track record’ mereka sebelum ini.

“Tiada yang baru, tapi kita alu-alukan minat semua ahli politik yang datang ke Johor.

“Semua kata Johor akan kalah, mereka menang. (Datuk Seri) Shafie Apdal pun kata (pembangkang) akan menang di Johor,” katanya.


Tiada ulasan: