SHAH ALAM: Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin Umno
yang sanggup berkongsi pentas dengan pembangkang demi mendesak
pengunduran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak amat
mengecewakan.
Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, tindakan
Dr Mahathir bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz
Mahathir menunjukkkan ia lebih bersandarkan matlamat peribadi.
"Deklarasi itu membuktikan Dr Mahathir dan Muhyiddin mencabul semua
prinsip ketika menjadi pemimpin dalam Umno sebelum ini," katanya dipetik
Berita Harian.
Sementara itu Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin pula berkata penentuan
siapa yang menerajui kerajaan tidak boleh dibuat dalam satu sidang media
atau kempen menandatangani memorandum.
"Tindakan berkongsi pentas dengan pihak lawan sehingga mengenepikan
pendirian amat mengecewakan dan menandakan politik 'matlamat menghalakan
cara' yang wajar ditolak," katanya.
Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pula kesal dan kecewa dengan
'gangguan' pihak tertentu terhadap pentadbiran najib yang dipilih
secara demokrasi.
Ujarnya pertelingkahan sedemikian hanya akan merugikan negara dan
rakyat sehingga menyebabkan 'yang menang jadi arang yang kalah jadi
debu'.
Dr Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz semalam menandatangani deklarasi
rakyat bersama 55 pemimpin parti politik, aktivis dan masyarakat sivil
lain bagi mendesak pengunduran Najib.
Dalam sidang media di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya
itu, Dr Mahathir mendahului kesemua mereka menandatangani deklarasi
menolak pentadbiran Najib.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal tidak hadir dalam sidang
media tersebut semalam, namun menyatakan kesediaan untuk turut serta
menandatangani deklarasi berkenaan.
Deklarasi itu banyak mengitar semula tuduhan-tuduhan Dr Mahathir
terhadap Najib mengenai hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan
derma RM2.6 bilion.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan