KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan kerajaan dan dua lagi untuk membatalkan saman oleh waris penumpang pesawat MH370, selepas memutuskan ketiga-tiga pihak itu tidak melanggar tugas dan tanggungjawab masing-masing.
Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membatalkan saman terhadap kerajaan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), selaku defendan, dalam kamarnya.
Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke, yang mewakili ketiga-tiga defendan itu memberitahu media bahawa mahkamah bagaimanapun menolak permohonan untuk membatalkan saman oleh Malaysia Airlines Berhad (MAB).
"Hakim berpendapat bahawa ia tidak begitu jelas MAB merupakan pihak yang perlu disaman. Ia harus ditentukan menerusia perbiacraan penuh," katanya.
Bagaimanapun, satu lagi defendan Malaysia Airlines System Berhad (MAS) tidak menfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu.
Pada 28 Ogos 2015, keluarga itu, selaku plaintif, memfailkan saman terhadap kelima-lima defendan bagi menuntut ganti rugi atas kehilangan Tan Ah Meng, 46, dan isterinya Chuang Hsiu Ling@Cindy Chuang, 45, masing-masing merupakan pengarah syarikat kejuruteraan dan pembinaan serta anak sulung pasangan itu, Tan Wei Chew, 19.
Saman itu difailkan dua anak pasangan terbabit iaitu Tan Wei Hong, 16, dan Tan Wei Jie, 14, ibu bapa kepada Ah Meng, Tan Hun Khong, 85, dan Lai Chew Lai, 83, serta ibu Hsiu Ling, Chuang Hung Chien, 76.
Sangeet Kaur Deo, yang mewakili keluarga itu, memberitahu media pihaknya akan menfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
Katanya mahkamah menetapkan 4 Mei ini untuk mendengar permohonan plaintif bagi mendapatkan dokumen daripada MAB dan MAS.
Dalam pernyataan tuntutan itu, kesemua plaintif mendakwa MAS memungkiri kontrak apabila gagal memastikan pesawat berkenaan berada dalam keadaan baik dan sempurna hingga menyebabkan penumpang dan pesawat MH370 gagal dikesan.
Mereka mendakwa akibat kecuaian defendan, kedua-dua anak pasangan itu menjadi yatim piatu secara tiba-tiba serta kehilangan abang sulung mereka dan kejadian itu menyebabkan mereka mengalami penderitaan dan kehilangan termasuk sokongan kewangan dan kasih sayang.
Plaintif mendakwa semasa kehilangan perhubungan, DCA gagal mengambil tindakan sewajarnya untuk berhubung semula atau melancarkan pencarian pesawat itu selain mendakwa kehilangan pesawat boleh dihindarkan jika panglima TUDM memantau radar dalam masa sebenar dan mengambil segala tindakan ketika kejadian itu berlaku.
Justeru, mereka menuntut defendan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada plaintif, ganti rugi am, ganti rugi kehilangan sokongan, ganti rugi teruk dan teladan, kos, faedah serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Pada 29 Januari 2015, Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengumumkan bahawa kehilangan pesawat MH370 diisytiharkan sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu dianggap terkorban.
Pesawat Boeing 777-200ER itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.40 tengah malam, 8 Mac 2014 menuju ke Beijing. Sejam kemudian pesawat itu hilang daripada radar. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan