Ahad, 27 Mac 2016

19 pemidato bahas Deklarasi Rakyat, Mahathir & Muhyiddin sampai awal

ARIF ATAN & HUSIN MAHAT


Ketibaan Muhyidddin disambut laungan 'reformasi'.Ketibaan Muhyidddin disambut laungan 'reformasi'.


Seramai 19 pemidato akan membahaskan Deklarasi Rakyat pada Kongres Rakyat 2016 petang ini yang bertemakan 'Selamatkan Malaysia'.

Menurut senarai akhir yang dikeluarkan sekretariat penganjur kongres, antara pemidato yang terlibat ialah mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad; mantan timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin; Presiden Amanah Mohamad Sabu; Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang; Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali dan Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Turut berucap bekas menteri besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir; mantan menteri kebinet Tan Sri Sanusi Junid; ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar; ahli dewan undangan negeri (Adun) Salor Datuk Husam Musa dan naib presiden PKR Rafizi Ramli.

Antara pemimpin masyarakat sivil yang dijadualkan berucap ialah bekas presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenesavan, pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah, pemangku presiden MTUC Abdullah Sani dan pemimpin pelajar Syed Saddiq.

Turut tersenarai pengarah strategik PKR Fahmi Zainol; setiausaha publisiti DAP Teresa Kok dan penganjur program Datuk Zaid Ibrahim.

Tun Dr Mahathir akan menyampaikan ucaptama pada program anjuran Gerakan Selamatkan Malaysia (GSM) yang berlangsung di Dewan Konvensyen Shah Alam (SACC) bermula jam 2.00 petang hingga 6.30 petang ini.

Menurut Zaid, pihaknya telah memaklumkan kepada polis berkenaan kongres tersebut bagi tujuan keselamatan.

Beliau berkata, selepas kongres berkenaan Dr Mahathir akan mengetuai gerakan turun ke negeri-negeri.

“Kami adalah the right force bukan satu, dua atau tiga force,” kata beliau pada sidang media di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Kongres itu katanya diadakan bagi merangka tindakan susulan mencapai matlamat mengubah pucuk pimpinan negara yang ada sekarang.

“Kongres ini akan membahas matlamat negara Malaysia yang baru untuk kembali ke arah pemerintahan yang menolak korupsi dan penyalahgunaan kuasa, membina budaya politik yang sihat dan demokratik, urus tadbir yang baik, menghormati dan mematuhi undang-undang, dan tidak kurang pentingnya memulih kembali institusi kerajaan yang boleh berfungsi secara profesional dan penuh integriti,” jelas beliau.

Ketika berita ini ditulis, Tun Dr Mahathir, Muhyiddin dan Mahfuz sudah pun sampai di pekarangan SACC sambil disambut tepukan gemuruh dan laungan 'reformasi' dan 'hidup Tun'.

Tiada ulasan: