Selasa, 29 Mac 2016

Deklarasi Rakyat sebagai semboyan masa depan

Hasmi Hashim

 


ULASAN Kongres Rakyat yang berlangsung di Shah Alam pada Ahad lalu adalah kongres luar biasa dan tidak pernah berlaku sama ada sebelum dan selepas kemerdekaan Malaysia.

Buat pertama kali, para pemimpin daripada segenap jalur politik termasuk tokoh-tokoh daripada parti pembangkang, kerajaan, NGO, kumpulan anak muda dan mahasiswa dapat berhimpun bersama secara setara.

Tujuannya hanya satu iaitu mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk meletakkan jawatan. Melepaskannya dengan segera.

Dapat dirasakan bahawa sejak detik itu, politik Malaysia sudah tidak akan sama lagi. Mantan timbalan perdana menteri yang disingkirkan daripada kabinet pada Julai tahun lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebutkan bahawa politik Malaysia kini sudah bersedia untuk menerima “politik matang”.

Beliau tidak pernah menyangka yang beliau boleh duduk bersebelahan dengan tokoh pembangkang, Lim Kit Siang. Rakyat tidak pernah membayangkan pemimpin daripada semua parti boleh bersatu hati.

Ramai pemimpin yang berucap menyuarakan nada keinsafan yang sama iaitu politik tetek-bengek, ego, dendam dan perbezaan ideologi harus diketepikan. Konsensus dicapai. Usaha menyelamatkan Malaysia secara besar-besaran harus segera digerakkan.

Skandal 1MDB yang mencecah lebih RM42 bilion, wang RM2.6 bilion yang masuk ke akuan peribadi PM Najib, media yang ditekan dan dibredel, kes pembunuhan individu berprofil tinggi dan campur tangan ke dalam institusi-institusi kerajaan telah meletakkan Malaysia di ambang sebuah negara gagal.

Para tokoh di pentas kongres juga mengakui, semua kebejatan itu telah memberi kesan kepada realiti ekonomi negara. Nilai ringgit jatuh ke paras terburuk, imej negara di mata dunia rosak binasa dan dasar-dasar kerajaan seperti pelaksanaan GST serta menandatangi TPPA hanya menambahkan beban hidup rakyat.

Oleh itu, Semua kerosakan itu akan hanya dapat diselesaikan apabila PM Najib dilengserkan. Melengserkan PM Najib adalah satu permulaan kepada sebuah Malaysia yang baru.

Blok 'pemakan dedak'

Sejak Deklarasi Rakyat dilancarkan pada 4 Mac lalu, blok yang menyokong kepimpinan PM Najib menggunakan pelbagai helah untuk mengelirukan rakyat. Blok itu juga bukan hanya terdiri di kalangan orang Umno-BN sahaja, tetapi juga golongan “pemakan dedak” daripada pelbagai kumpulan.

Melalui media yang dikuasai mereka, Deklarasi Rakyat cuba dimomok-momokkan sebagai “Deklarasi Tun Mahathir-Kit Siang”. Bahkan, selepas kongres tempoh hari media perdana mulai memutarkan cerita kononnya deklarasi berkenaan bertujuan menjadikan anak Tun Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai PM.

Dalam masa sama, wujud juga golongan dan individu yang berkepentingan cuba menimbulkan syak wasangka.

Disebutkan bahawa menggantikan PM harus hanya melalui pilihanraya atau melabel Deklarasi Rakyat sebagai “elitis” dan tidak serta mengabaikan cita-cita untuk melakukan reformasi institusi yang lebih menyeluruh. Kata-kata nista begitu hanya berpenghujung demi memanjang kuasa atau memenangkan rejim PM Najib.

Kenyataan yang hendak disembunyikan ialah, sejak Malaysia merdeka hampir 60 tahun lalu, belum pernah wujud sebuah deklarasi yang melibatkan partisipasi sekian rakyat jelata. Biasanya sesebuah deklarasi hanya dibacakan oleh pemimpin tertentu di atas pentas ceramah atau ditandatangani di kalangan pemimpin tertinggi parti politik sahaja.

Ramai masih ingat bagaimana “Deklarasi Kuching” pada 16 September 2012 yang dimeterai di Sarawak, hanya ditandatangani oleh tiga pemimpin tertinggi parti oposisi iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Hadi Awang dan Lim Kit Siang sahaja.

Kandungan deklarasi itu juga tidak diketahui ramai rakyat Malaysia sama ada di Sarawak, Sabah mahupun di Semenanjung. Mungkin kerana itu, deklarasi sebegitu dilihat sebagai tidak demokratik dan tidak melalui piawaian demokrasi.

Berbeza dengan Deklarasi Rakyat, ia memerlukan tandatangan seramai mungkin rakyat Malaysia. Setiap yang menandatangani Deklarasi Rakyat juga diwajibkan menulis nama dan nombor kad pengenalan masing-masing sebagai tanda sokongan yang sedar dan tulen.

Setiap seorang juga diberikan salinan untuk dibaca setiap butirannya dan bagi membolehkan rakyat benar-benar faham kemelut yang sedang dihadapi Malaysia. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Deklarasi Rakyat adalah persis sebuah “pungutan suara” yang melalui setiap proses demokrasi apabila melibatkan rakyat terbanyak.

Di dalam dewan tempoh hari...

Desakan untuk memastikan PM Najib meletakkan jawatan atau dilengserkan adalah penting bagi membolehkan pelan pembaikan Malaysia dapat dilaksanakan sebagai langkah seterusnya.

Proses itu jugalah nantinya akan melibatkan tiap-tiap usaha reformasi institusi termasuklah membaiki sistem pilihanraya agar bersih dan adil, memastikan tidak wujud campur tangan dalam sistem kehakiman, mengembalikan profesionalisme badan-badan kerajaan seperti Polis, SPRM, jabatan peguam negara dan lain-lain.

Malaysia harus segera kembali diletakkan sebagai negara yang berdaulat dengan Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara demi memulihkan prinsip “rule of law” serta penghayatan terhadap Rukun Negara.

Semua perkara pokok ini sesungguhnya telah disebutkan dengan jelas nyata oleh tokoh-tokoh yang berucap di pentas Selamatkan Malaysia tempoh hari.

Bahkan semua prinsip utama itu juga merupakan cita-cita yang diperjuangkan oleh para pejuang reformasi, terutama kepada mereka yang melalui perit getir perjuangan sejak 1998. Sekiranya para penggerak Reformasi 1998 benar-benar mempunyai semangat perubahan, mereka tentulah tidak berasa berjauh hati.

Begitu juga kepada pejuang kebebasan, keadilan dan demokrasi, mereka sewajarnya merasa bangga apabila laungan sekian lama kini diterima bukan sahaja oleh tokoh seperti Dr Mahathir, bahkan ramai di kalangan ramai orang-orang Umno dan BN itu sendiri.

Di dalam dewan Shah Alam Convenstion Center (SACC) tempoh hari, saya dapat merasakan senyuman insan-insan aktivis reformasi yang hadir adalah senyuman yang berbangga terhadap perjuangan mereka nan sekian lama telah pun berputik. Perih getir belasan tahun sesungguhnya tidak sia-sia.

Tekad membawa perubahan, menegakkan keadilan dan kebenaran tentu akhirnya lebih tinggi daripada keghairahan cita-cita politik peribadi. Kita juga telah melihat bagaimana begitu banyak konflik sama ada di negara-negara Timur Tengah, India, Latin Amerika dan Afrika merebak menjadi perang saudara apabila dendam atau ego individu dan kelompok tidak dapat dipadamkan. Ketika itu, nyawa rakyat melayang setiap hari. Tangisan terdengar siang dan malam.

Kita bersyukur apabila pertembungan politik di negara ini tidak sampai mengheret rakyat ke lembah konflik dan perang. Inilah kelebihan Malaysia! Lebih menyenangkan apabila semboyan untuk menyelamatkan negara dikumandangkan, rakyat tanpa mengira bangsa keturunan akan bersatu bahu-membahu.

Menandatangani Deklarasi Rakyat adalah satu usaha ke arah itu. Malaysia masih boleh diselamatkan kerana negara kita, tanggungjawab kita.

HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalantelawi.


Tiada ulasan: