Rabu, 30 Mac 2016

Diam membisu dengan skandal 1MDB, derma RM2.6 bilion dedah sikap berat sebelah pemimpin BN

m_kulasegaran-e1459240763289
Roketkini.com


IPOH: Tindakan pemimpin BN memperbesarkan isu pembelian rumah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang sah dan mengikut peraturan, hanyalah cubaan mengalih perhatian rakyat dari skandal mega 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, M. Kulasegaran, berkata tindakan mereka itu menunjukkan sikap berat sebelah yang ketara apabila mereka hanya memainkan isu berhubung pemimpin parti pembangkang tetapi menutup mata terhadap isu lebih besar, iaitu skandal Najib, yang melibatkan berbilion wang rakyat.

“Saya rasa amat melucukan apabila pemimpin UMNO, Gerakan dan MCA berkelakuan seperti singa apabila bercakap tentang isu pembelian rumah Guan Eng tetapi menjadi arnab yang jinak apabila menyentuh isu skandal Najib.

“Tingkah laku mereka hanya menunjukkan perangai berat sebelah apabila melibatkan isu integriti. Tidak sukar untuk lihat bahawa motif sebenar mereka adalah untuk mengalih perhatian orang ramai dari skandal 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat itu, cubaan memburuk-burukkan Guan Eng akan gagal memandangkan Setiausaha Agung DAP tersebut memberi penerangan yang jelas dan munasabah berhubung isu pembelian rumahnya.

“Guan Eng telah jelaskan isu itu dengan baik dan pemilik rumah sebelum ini, Phang Li Koon juga sudah membuat surat akuan bersumpah yang memihak kepada beliau.

“Lagipun, beliau (Guan Eng) sudah menerangkan bahawa pembelian itu bukan dari pemaju swasta. Tanah Taman Manggis itu dijual kepada Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn Bhd (KLIDC) melalui tender terbuka dan Phang tidak mempunyai kepentingan dalam KLIDC.

“Tetapi, pemimpin BN masih mahu mengabaikan segala penjelasan yang nyata ini dan bertindak memainkan isu tersebut tanpa henti,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin dan ahli DAP akan terus memberi sokongan penuh kepada Guan Eng di saat beliau sedang berdepan serangan bertubi-tubi yang tidak berasas dari pemimpin dan cybertrooper UMNO-BN.

“Terdapat cubaan cybertrooper UMNO-BN untuk mengelirukan rakyat dengan menyamakan isu pembelian rumah Guan Eng itu dengan isu pembelian rumah Khir Toyo sebelum ini.

“Namun, penyokong DAP tidak jemu-jemu menjelaskan perkara sebenar dalam media sosial. Kami (DAP) ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu selama ini,” katanya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: